Wanita dibunuh suami ada 89 kesan tikaman, luka pertahankan diri

13 Feb 2026, 12:19 PM
Wanita dibunuh suami ada 89 kesan tikaman, luka pertahankan diri

SHAH ALAM, 13 FEB: Hasil bedah siasat terhadap suami isteri ditemui maut di sebuah kediaman di Sunway SPK, Damansara Kepong, kelmarin, menunjukkan tahap keganasan serius apabila mangsa wanita mengalami puluhan kecederaan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, berkata bedah siasat ke atas kedua-dua mangsa dijalankan di Hospital Kuala Lumpur (HKL), semalam bagi mengenal pasti punca kematian, lapor Berita Harian.

"Mangsa lelaki didapati mengalami 10 kecederaan, manakala isterinya pula ada 89 kecederaan dipercayai kesan tikaman dan luka mempertahankan diri.

"Kedua-dua mayat diserahkan kepada waris pada hari sama selepas proses bedah siasat selesai dijalankan," katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Op Selamat 25 sempena Tahun Baharu Cina Tahun 2026 peringkat Kontinjen Kuala Lumpur di pusat beli-belah Pavilion, hari ini.

Fadil berkata setakat ini polis masih menjalankan siasatan lanjut termasuk mengenal pasti motif sebenar kejadian.

Semalam, media melaporkan seorang lelaki dipercayai membunuh isterinya sebelum bertindak menamatkan riwayat sendiri di sebuah rumah di Jalan Daun Inai 4, Sunway SPK, Damansara Kepong, dengan mayat pasangan warga tempatan itu ditemui berlumuran darah di dalam bilik tidur.

Mayat pasangan warga tempatan itu ditemui terbaring di atas lantai dalam bilik dengan keadaan berlumuran darah sebelum dimaklumkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut pada jam 11.43 pagi.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari dilaporkan berkata, hasil pemeriksaan di lokasi menemui seorang lelaki berusia 54 tahun dengan kesan tikaman di leher.

Beliau berkata, mangsa wanita berusia 52 tahun pula ditemui dengan kesan kecederaan 13 tikaman iaitu 10 di leher, satu di tangan kiri dan dua di badan.

Motif pembunuhan dipercayai kerana perselisihan faham antara suami isteri itu dan dipercayai lelaki itu membunuh isterinya sebelum menamatkan riwayatnya sendiri.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619