Pekerja pusat asuhan dituduh bunuh bayi empat bulan

19 Mac 2026, 3:32 AM
Pekerja pusat asuhan dituduh bunuh bayi empat bulan

BUKIT MERTAJAM, 19 MAC: Seorang pekerja pusat asuhan atau taska didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang bayi lelaki berusia empat bulan, minggu lepas.

Nur Farhana Fazmar Abdullah, 22, mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit, namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Dia didakwa menyebabkan kematian seorang bayi di Taska Pintar Hospital Seberang Jaya (HSJ) di sini, antara 1 hingga 4 pagi, pada 9 Mac lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun dan sebatan tidak kurang 12 kali sekiranya tidak dijatuhi hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Nur Amalina Harun, manakala peguam Muhaimin Hashim mewakili tertuduh.

Mahkamah tidak membenarkan sebarang jaminan sebelum menetapkan 23 Jun sebagai tarikh sebutan semula untuk menunggu laporan kimia dan bedah siasat.

Sementara itu, seorang lagi wanita berusia 22 tahun yang sebelum ini ditahan bersama tertuduh bagi membantu siasatan dibebaskan dengan jaminan RM10,000 di mahkamah sama sebagai saksi pendakwaan.

Semalam, Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Azizee Ismail mengesahkan kematian bayi lelaki itu disebabkan lemas berdasarkan hasil bedah siasat.

Dalam kejadian itu, mangsa berusia empat bulan disahkan meninggal dunia pada 4.20 pagi, 9 Mac selepas dikejarkan ke Jabatan Kecemasan HSJ dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Difahamkan doktor melakukan resusitasi kardiopulmonari (CPR) selama kira-kira sejam sebelum mangsa meninggal dunia.

Bayi itu dihantar ke pusat asuhan yang beroperasi 24 jam oleh ibunya, seorang jururawat yang bertugas syif malam.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619