Isu rumah ibadat: PM tegaskan tiada pihak berhak ambil tindakan sendiri

12 Feb 2026, 12:54 AM
Isu rumah ibadat: PM tegaskan tiada pihak berhak ambil tindakan sendiri

KUALA LUMPUR, 12 FEB: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa tiada mana-mana pihak berhak mengambil tindakan sendiri di luar kerangka undang-undang dalam isu berkaitan rumah ibadat.

Beliau berkata Malaysia adalah sebuah negara yang berteraskan undang-undang dan semua pihak perlu menghormati prinsip tersebut.

“Negara ini, negara yang harus patuh kepada undang-undang, berlandaskan kedaulatan undang-undang.

“Ya, sememangnya timbul pelbagai isu, kontroversi dan perbezaan… namun keutamaan kita adalah memastikan kestabilan terpelihara, kesucian kepercayaan kita dihormati serta pada masa yang sama memelihara perpaduan sejagat,” kata beliau.

Anwar berkata demikian pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) 2026 di sini malam tadi.

Perdana Menteri sekali lagi menegaskan bahawa semua pihak perlu mematuhi undang-undang dan peraturan berhubung pembinaan rumah ibadat dan isu sensitiviti di negara ini bagi memastikan keharmonian serta kestabilan terus terpelihara.

Merujuk isu berkaitan rumah ibadat yang tidak mengikut peraturan serta cadangan pembinaan ladang babi yang hangat diperkatakan di Selangor kebelakangan ini, beliau berkata perkara itu perlu ditangani dengan baik dan penuh hormat.

“Akhir-akhir ini, seperti yang anda sudah tahu, kita hangat dengan isu di Selangor dan di negeri lain, soal rumah ibadat yang tidak ikut peraturan dan juga soal pembinaan ladang khinzir. Jadi saya nak gunakan kesempatan ini cuba menyebut bahawa semua kita tahu peraturannya, iaitu apa yang boleh, apa yang tidak boleh.

“… tetapi kita kena tangani dengan baik dengan hormat. Jangan menghina Islam Agama Persekutuan dan majoriti umat Islam di sini (dalam negara), tetapi tidak harus juga ada mana-mana pandangan untuk menghina amalan keluarga kita, masyarakat kita yang lain,” kata beliau.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619