Cemburu dipercayai punca ibu tunggal dibunuh

7 Feb 2026, 10:26 AM
Cemburu dipercayai punca ibu tunggal dibunuh

BUTTERWORTH, 7 FEB: Siasatan awal polis mendapati wanita yang ditemukan mati akibat dibunuh di kediamannya di tingkat satu Flat Sri Murni, Sungai Dua di sini, Rabu lepas dipercayai berpunca daripada cemburu.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Azizee Ismail berkata siasatan lanjut masih dijalankan ke atas tiga lelaki termasuk seorang warga asing yang ditahan bagi membantu siasatan kes tersebut.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan dan polis percaya dengan penahanan tiga lelaki itu kami dapat menyelesaikan kes tersebut, setakat ini tiada tangkapan atau suspek baharu yang dipercayai terlibat.

"Polis tidak menolak kemungkinan kes bunuh itu melibatkan percintaan dan cemburu tetapi saya tidak boleh ulas lanjut kerana siasatan masih diteruskan," katanya.

Beliau berkata tiga lelaki yang ditahan berusia 38 hingga 45 tahun dan bekerja sendiri serta buruh itu, masih direman hingga 11 Februari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sebelum ini media melaporkan mangsa berusia 41 tahun dan bekerja sebagai pemandu van sekolah ditemui dalam keadaan terbaring di atas katil di sebuah bilik dalam rumah berkenaan dengan kesan kelar pada lehernya.

Difahamkan, jiran memaklumkan kejadian tersebut kepada pihak polis pada 1.40 tengah hari selepas mangsa yang juga ibu tunggal, tidak memberi sebarang respons meskipun pintu rumahnya terbuka manakala pagar jeriji berkunci.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619