Kanak-kanak dipukul ketika pergi pasar malam terima sokongan emosi

31 Jan 2026, 10:00 AM
Kanak-kanak dipukul ketika pergi pasar malam terima sokongan emosi
Kanak-kanak dipukul ketika pergi pasar malam terima sokongan emosi

SHAH ALAM, 31 JAN: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) akan menyalurkan sokongan emosi kepada kanak-kanak perempuan yang diserang seorang lelaki tidak dikenali di Hulu Selangor, Khamis lalu.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali, Saifuddin Shafi Muhammad berkata, pihaknya akan menghubungi jabatan berkaitan bagi memastikan keadaan emosi mangsa serta keluarganya berada dalam keadaan stabil.

Pada masa sama, beliau berkata kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Izola Bakawali akan diperkukuh bagi memantau keselamatan komuniti di kawasan kejadian.

“Saya sarankan KRT dan persatuan penduduk di kawasan ini untuk sentiasa cakna, selain mendapatkan maklumat asas penduduk terutama penyewa.

“Saya mengecam keras tindakan tidak berperikemanusiaan pelaku jelek itu,” katanya menerusi hantaran di Facebook selepas menziarahi keluarga mangsa.

Saifuddin turut menzahirkan rasa kagum terhadap keberanian abang dan kakak mangsa yang bertindak mempertahankan serta menyelamatkan adik mereka ketika kejadian.

“Melihat keadaan mangsa, hati saya pilu. Serangan ini bukan sekadar meninggalkan luka koyak di dagu dan lebam di leher, tetapi turut menyebabkan trauma mendalam yang perlu dihadapi.

“Kepada tiga beradik ini, pak cik doakan semoga diberikan kesembuhan sepenuhnya, bukan sahaja dari segi fizikal tetapi juga emosi dan jiwa,” katanya.

Semalam, tiga beradik berkenaan termasuk sepasang kembar berdepan detik cemas selepas seorang daripada mereka dipukul dan dicabul oleh seorang lelaki ketika berjalan ke pasar malam.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ibrahim Husin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 8 malam sebelum menahan suspek berusia 23 tahun.

Berikutan itu, suspek yang juga seorang penganggur direman sehingga Isnin depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan serta Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619