Tiada tolak ansur terhadap penjawat awam rasuah, termasuk pegawai tertinggi

30 Jan 2026, 1:53 AM
Tiada tolak ansur terhadap penjawat awam rasuah, termasuk pegawai tertinggi

PUTRAJAYA, 30 JAN: Kerajaan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana penjawat awam yang didapati menyalahgunakan kuasa atau terlibat dalam rasuah termasuk mereka daripada peringkat pengurusan tertinggi, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Beliau berkata susulan perkembangan terbaharu melibatkan tangkapan dan siasatan berkaitan salah guna kuasa, perkhidmatan awam akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa untuk memastikan siasatan dijalankan secara menyeluruh dan telus.

“Perkhidmatan awam tidak akan sama sekali berkompromi dalam mengambil tindakan terhadap mana-mana penjawat awam mengikut lunas perundangan ditetapkan sekiranya didapati bersalah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shamsul Azri berkata prinsip menolak salah guna kuasa, rasuah dan kecurangan tadbir urus penting bagi memastikan kredibiliti perkhidmatan awam tidak dicemari sekali gus mengelakkan tindakan yang boleh menghakis kepercayaan rakyat terhadap institusi teras negara.

Beliau berkata nilai integriti perlu kekal menjadi teras penyampaian perkhidmatan awam yang berkesan termasuk dalam usaha mengurangkan ketirisan hasil negara serta mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negara selaras aspirasi Kerajaan Malaysia MADANI.

Dalam tempoh setahun kebelakangan ini, agensi penguatkuasaan termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat tindakan tegas dalam isu berkaitan salah laku dan rasuah yang menunjukkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh integriti perkhidmatan awam.

SPRM melancarkan pelbagai operasi berprofil tinggi melibatkan pegawai kanan pelbagai kementerian dan agensi termasuk kes berkaitan pengurusan kewangan, perolehan serta salah guna kuasa pada peringkat pengurusan tertinggi.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berulang kali menegaskan integriti merupakan tunjang utama dalam usaha memulihkan keyakinan rakyat serta pelabur, dan tindakan tegas tanpa mengira pangkat perlu dilakukan bagi memastikan tadbir urus kerajaan tidak terjejas oleh elemen rasuah atau ketirisan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619