SPRM tahan bekas pengarah syarikat telekomunikasi, disyaki beri rasuah RM8 juta

22 Feb 2026, 2:32 PM
SPRM tahan bekas pengarah syarikat telekomunikasi, disyaki beri rasuah RM8 juta

KUALA LUMPUR, 22 FEB: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang bekas pengarah sebuah syarikat telekomunikasi kerana disyaki memberi rasuah kira-kira RM8 juta.

Suapan berkenaan dipercayai diberikan kepada pengarah urusan kumpulan sebuah bank sebagai balasan membantu meluluskan permohonan pinjaman.

Menurut sumber, lelaki berusia lingkungan 50-an itu ditahan kira-kira 12.30 tengah hari tadi, ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.

Sumber itu berkata siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut pada 2012.

“Suspek juga dipercayai telah mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu melibatkan dokumen Joint Completion Guarantee sebagai memenuhi syarat kelulusan permohonan pinjaman berjumlah kira-kira RM400 juta untuk membiayai sebuah projek fiber optik,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 16(b)(A) Akta SPRM 2009 dan Seksyen 471 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata suspek akan dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok.

-- BERNAMA

TAG: SPRM, rasuah, telekomunikasi, bank

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619