Polis tumpas kegiatan proses air ketum di Rawang, enam ditahan

27 Jan 2026, 4:24 AM
Polis tumpas kegiatan proses air ketum di Rawang, enam ditahan

KUALA LUMPUR, 27 JAN: Polis menumpaskan aktiviti pemprosesan dan pembungkusan air ketum dengan menahan enam individu di sebuah premis kediaman di Rawang, Selangor, pada Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata dalam serbuan yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak itu, polis turut merampas 1215.6 liter air ketum.

“Turut dirampas 20 kilogram daun ketum serta pelbagai peralatan memproses bahan berkenaan dengan nilai rampasan berjumlah RM21,060, dipercayai untuk pasaran sekitar Lembah Klang.

“Selain itu, polis turut menyita sebuah kenderaan jenis Toyota Hiace yang berada di hadapan premis berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

ACP Noor Ariffin berkata semakan mendapati kesemua yang ditahan iaitu seorang lelaki tempatan serta tiga lelaki dan dua wanita warga asing berusia antara 21 hingga 38 tahun, tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan saringan awal air kencing adalah negatif.

Kesemua suspek direman tujuh hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Beliau turut menyeru orang awam agar terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah bagi membantu usaha pembanterasan secara berterusan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619