BAP RM150 mesti diserah tanpa potongan, Fadhlina ingatkan sekolah

13 Jan 2026, 8:53 AM
BAP RM150 mesti diserah tanpa potongan, Fadhlina ingatkan sekolah

NIBONG TEBAL, 13 JAN: Bantuan Awal Persekolahan (BAP) berjumlah RM150 bagi setiap murid mesti diserahkan sepenuhnya kepada ibu bapa tanpa sebarang potongan untuk digunakan bagi persiapan persekolahan anak-anak.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata sebarang rancangan atau bayaran lain seperti yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) perlu diselesaikan secara berasingan dan bukan menerusi potongan BAP.

“RM150 ini memang Kerajaan MADANI peruntukan untuk persiapan sekolah. Jadi, RM150 ini hanya untuk bantuan persekolahan dan mesti diserahkan dengan jumlah RM150.

“Jika ada ibu bapa yang tidak terima RM150 ini, (walaupun) kurang sepuluh sen, (atau) kurang seringgit, kena beritahu kita (Kementerian Pendidikan) kerana tidak boleh berkurangan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Cek Cura Bantuan Awal Persekolahan 2026 Peringkat Negeri Pulau Pinang di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Syed Sheh Barakbah di sini hari ini.

Fadhlina berkata kerajaan telah memperuntukkan lebih RM800 juta bagi pelaksanaan BAP tahun ini yang memberi manfaat kepada kira-kira 5.2 juta murid Tahun Satu hingga Tingkatan 6 di seluruh negara.

Mengulas lanjut, beliau berkata penyerahan BAP setakat ini berjalan lancar, dengan kebanyakan ibu bapa hadir untuk mengambil bantuan berkenaan berikutan minggu pertama sesi persekolahan menyaksikan ramai mengambil cuti bagi menghantar anak-anak ke sekolah.

Ahli Parlimen Nibong Tebal itu juga berharap dapat menyelesaikan agihan bantuan tersebut dalam minggu ini berikutan kebanyakkan daripada lebih 10,000 sekolah yang terlibat, telah menerima peruntukan untuk diagihkan segera.

Terdahulu, Fadhlina menyerahkan BAP berjumlah lebih RM34 juta yang memberi manfaat kepada lebih 227,000 murid sekolah rendah dan menengah di Pulau Pinang.

Dalam perkembangan lain, Fadhlina berkata Kementerian Pendidikan (KPM) akan memastikan semua pihak berkepentingan termasuk ibu bapa menandatangani Polisi Perlindungan Murid di sekolah, selewat-lewatnya minggu hadapan.

Beliau berkata polisi berkenaan merangkumi aspek pencegahan buli, gangguan seksual, penderaan serta isu kesihatan mental murid.

Semalam, Fadhlina berkata KPM komited menangani isu buli di sekolah dan semua pihak akan menandatangani Polisi Perlindungan Murid, sebagai janji untuk menjaga, memelihara, dan melindungi anak-anak di sekolah.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619