Kerja baik pulih Blok D SMK Cheras Jaya bermula suku ketiga

4 Mac 2026, 6:09 AM
Kerja baik pulih Blok D SMK Cheras Jaya bermula suku ketiga

SHAH ALAM, 4 MAC: Kerja pembaikan tingkat atas Blok D Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cheras Jaya dijangka bermula pada suku ketiga tahun ini, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Beliau berkata tingkat tersebut ditutup sejak Jun 2024 selepas pemeriksaan Jabatan Kerja Raya (JKR) mendapati kekuda bumbung kayu berisiko runtuh.

Menurutnya, susulan itu JKR mengesyorkan supaya keseluruhan struktur bumbung Blok D dirobohkan dan dibina semula.

“JKR turut mencadangkan tingkat atas ditutup sebagai kawasan larangan atas faktor keselamatan,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen semalam.

Fadhlina menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan berhubung garis masa pembaikan serta langkah sementara bagi menangani kekurangan bilik darjah di sekolah berkenaan.

Beliau berkata bagi memastikan sesi pengajaran dan pembelajaran dapat diteruskan, seramai 180 pelajar Tingkatan Tiga ditempatkan sementara di lima bengkel Reka Bentuk dan Teknologi.

Tambahnya, Kementerian Pendidikan sudah meluluskan peruntukan RM1.7 juta bagi melaksanakan kerja pembaikan berkenaan.

Menurutnya lagi, projek tersebut secara rasmi diserahkan kepada JKR pada 30 Januari lalu.

“JKR akan memuktamadkan reka bentuk pembaikan, mengesahkan skop kerja serta mengemukakan unjuran sebelum kerja fizikal dimulakan dengan kelulusan KPM,” katanya.

Beliau berkata kementerian akan terus bekerjasama rapat dengan JKR serta memantau perkembangan projek bagi memastikan kerja pembaikan dilaksanakan seperti dirancang selain menjamin keselamatan dan kesejahteraan warga sekolah.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619