Bantuan Awal Persekolahan diagih lebih awal tahun depan - Fadhlina

9 Jan 2026, 7:49 AM
Bantuan Awal Persekolahan diagih lebih awal tahun depan - Fadhlina

PUTRAJAYA, 9 JAN: Kementerian Pendidikan (KPM) menzahirkan komitmennya untuk mengagihkan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) lebih awal bermula tahun depan selepas menerima rungutan daripada ibu bapa berhubung bantuan tahun ini yang hanya mula diedarkan pada minggu pertama persekolahan.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek mengakui pihaknya ada menerima rungutan berkaitan bantuan berkenaan.

“Kebetulan tahun ini kita baru sahaja memulakan sesi persekolahan pada Januari, jadi memang ada sedikit rungutan yang kami terima.

“Mulai tahun hadapan, kami akan terus perbaiki dan saranan itu kami ambil secara serius. Maknanya (BAP) diberikan lebih awal supaya persiapan boleh dilakukan lebih awal,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan amanat tahun baharu kepada warga KPM di sini hari ini.

Pada Isnin lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Menteri Kewangan mengumumkan peruntukan RM800 juta bagi menyediakan BAP sebanyak RM150 kepada semua pelajar tahun satu hingga tingkatan enam tahun ini.

Ibu bapa dikehendaki hadir di sekolah untuk menerima bantuan berkenaan seawal 11 Januari ini.

BAP adalah bantuan tunai secara sekali bayar berjumlah RM150 diberikan kepada 5.2 juta murid bagi mengurangkan beban perbelanjaan ibu bapa atau penjaga dalam menyediakan keperluan persekolahan.

Bagi tahun ini, penyaluran bantuan akan kembali dibuat secara serahan tunai di sekolah melalui program pertemuan antara guru dengan ibu bapa.

“Saya harap ibu bapa ambil RM150 ini untuk keperluan sekolah dan datang ke sekolah ambil bantuan serta berjumpa dengan guru untuk mendengar laporan dan juga saranan mengenai anak-anak kita,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Fadhlina berkata Jemaah Menteri pada petang ini akan membincangkan jangkaan berlaku kenaikan tambang bas sekolah.

“Saya akan bawa dalam (mesyuarat) Jemaah Menteri mengenai perkara ini dan keprihatinan itu untuk kami melihat secara keseluruhannya,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Persekutuan Persatuan Bas Sekolah Malaysia menjangkakan berlaku kenaikan tambang bas sekolah susulan peningkatan kos operasi seperti insurans, gaji pemandu dan alat ganti kenderaan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619