KKM sasar haram vape tahun ini - Dzulkefly

6 Jan 2026, 10:00 AM
KKM sasar haram vape tahun ini - Dzulkefly

PUTRAJAYA, 6 JAN: Kementerian Kesihatan (KKM) menyasarkan untuk melaksanakan pengharaman vape bermula dengan jenis sistem terbuka, tahun ini.

Menterinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata pihaknya tidak akan berkompromi dalam penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).

"Berhubung isu rokok dan vape, pendirian saya kekal. Penguatkuasaan penuh akta ini adalah tanggungjawab moral kita untuk melindungi generasi akan datang daripada ancaman penyakit tidak berjangkit (NCD) dan popcorn lung (bronchiolitis obliterans).

"Ini telah pun saya uar-uarkan dahulu terutama vape jenis sistem terbuka dan sebagainya, mungkin kita akan membuat beberapa langkah tetapi langkah pertamanya adalah untuk haramkan jenis sistem terbuka yang telah disalahgunakan dengan pelbagai dadah sintetik," katanya kepada media selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 di sini hari ini.

Beliau berkata pengharaman itu meliputi penjualan dan penggunaan vape jenis sistem terbuka.

Katanya, perkara itu akan dibawa ke mesyuarat Kabinet dalam masa terdekat.

Dalam perkembangan lain, Dzulkefly berkata inisiatif Rakan KKM, yang menawarkan perkhidmatan kesihatan bertaraf ekonomi premium di hospital kerajaan terpilih, dijangka dilancarkan pada suku pertama tahun ini.

"Menjelang suku pertama 2026, kita bakal menerima pesakit pertama di bawah inisiatif Rakan KKM.

"Ini adalah model ekonomi premium yang membolehkan subsidi silang berlaku, sekali gus membantu kita mengekalkan pakar perubatan di dalam sistem awam," katanya.

Beliau berkata Hospital Cyberjaya akan menjadi hospital KKM pertama yang menawarkan perkhidmatan itu sebelum diperluas ke hospital lain.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619