Lelaki meninggal akibat rabies di Sarawak, kes kematian pertama direkodkan tahun ini

5 Mac 2026, 4:05 AM
Lelaki meninggal akibat rabies di Sarawak, kes kematian pertama direkodkan tahun ini

PUTRAJAYA, 5 MAC: Lelaki warga tempatan berusia 44 tahun dilaporkan meninggal dunia akibat jangkitan rabies di Kota Samarahan, Sarawak pada 25 Februari lepas, menjadikan ia kes kematian pertama direkodkan tahun ini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata sejak wabak rabies diisytiharkan pada 2017, sebanyak 91 kes dilaporkan di negara ini dengan 84 daripadanya melibatkan kematian, sekali gus menunjukkan kadar kematian yang amat tinggi sekitar 93 peratus.

Beliau berkata siasatan mendapati mangsa tidak mempunyai sejarah digigit haiwan, namun gemar memberi makan anjing liar serta memelihara kira-kira 15 ekor anjing, dengan seekor daripadanya dilaporkan mati secara mengejut pada awal Februari.

“Kes ini menjadi peringatan bahawa jangkitan rabies tidak semestinya berpunca daripada gigitan yang jelas,” katanya menerusi hantaran di akaun X miliknya hari ini.

Dzulkefly berkata jangkitan juga boleh berlaku melalui sentuhan rapat, cakaran atau ketika mengendalikan bangkai haiwan yang dijangkiti tanpa perlindungan sesuai.

Sehubungan itu, beliau menekankan kepentingan pendekatan ‘One Health’ yang mengiktiraf bahawa kesihatan manusia, haiwan dan persekitaran saling berkait rapat.

“Apabila satu terjejas, kita semua dalam bahaya,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar mengambil langkah pencegahan segera termasuk mencuci luka gigitan atau cakaran dengan air mengalir serta sabun sekurang-kurangnya 15 minit.

Mereka juga dinasihat untuk mendapatkan rawatan Post-Exposure Prophylaxis (PEP) dengan segera, memastikan haiwan peliharaan divaksin setiap tahun serta mengelakkan mengendalikan haiwan liar yang tidak diketahui status vaksinasinya.

Selain itu, orang ramai juga diminta melaporkan kematian haiwan yang mencurigakan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) atau pihak berkuasa tempatan dengan segera.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619