Gaza perlukan 200,000 unit rumah pasang siap penuhi keperluan kemanusiaan

28 Dis 2025, 1:44 PM
Gaza perlukan 200,000 unit rumah pasang siap penuhi keperluan kemanusiaan

RAMALLAH, 28 DIS: Gaza memerlukan kira-kira 200,000 unit rumah pasang siap bagi memenuhi keperluan kemanusiaan segera keluarga yang kehilangan tempat tinggal serta menyediakan perlindungan lebih selamat di tengah-tengah keadaan cuaca buruk, menurut Bilik Operasi Kerajaan Palestin pada Ahad.

Dalam satu kenyataan, bilik operasi itu memaklumkan bahawa ribut yang melanda ketika ini telah menenggelamkan dan memusnahkan ribuan khemah di seluruh Gaza, sekali gus memburukkan lagi krisis kemanusiaan yang sedang berlaku, lapor Agensi Berita Palestin (WAFA).

Menurut bilik operasi itu, Al-Rasheed Coastal Street sepanjang kira-kira 26 kilometer telah dinaiki air menyebabkan kerosakan terhadap khemah-khemah yang didirikan di sepanjang laluan berkenaan akibat ombak laut yang tinggi susulan ribut berkenaan.

Ia menegaskan bahawa cuaca buruk telah memburukkan lagi penderitaan rakyat Palestin yang tinggal di khemah daif yang hanya memberikan perlindungan minimum daripada hujan dan cuaca sejuk melampau.

Rumah-rumah yang rosak sebahagiannya turut runtuh, sekali gus mengancam nyawa penduduk, di tengah-tengah ketiadaan pilihan perlindungan yang selamat.

Menurut bilik operasi itu, organisasi kemanusiaan kini berdepan kesukaran memenuhi keperluan mendesak penduduk yang kehilangan tempat tinggal berikutan kekurangan bekalan yang meruncing serta sekatan berterusan oleh Israel terhadap kemasukan bantuan ke Semenanjung Gaza.

Bilik operasi itu menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan organisasi antarabangsa agar memberi tekanan kepada Israel supaya membenarkan kemasukan segera rumah pasang siap dan bekalan perlindungan lain bagi meringankan penderitaan penduduk serta mengurangkan risiko ancaman nyawa yang mereka hadapi.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619