AGENDA

Ratusan khemah di Gaza ditenggelami bah, seorang bayi maut kesejukan

31 Dis 2024, 1:05 PM
Ratusan khemah di Gaza ditenggelami bah, seorang bayi maut kesejukan

GAZA, 31 DIS: Ratusan khemah di kem pelarian di pelbagai lokasi di Semenanjung Gaza ditenggelami banjir malam tadi dan awal pagi Selasa akibat hujan lebat, yang memburukkan lagi penderitaan keluarga yang hidup dalam keadaan daif susulan pengeboman berterusan oleh tentera Israel, lapor Agensi Berita dan Penerangan Palestin (WAFA).

Mangsa pelarian memaklumkan khemah mereka diterbangkan angin kencang yang melanda Gaza sejak dua hari lepas, memaksa mereka menghadapi kesejukan yang menusuk ke tulang tanpa sebarang perlindungan.

Mereka yang terutamanya berlindung di kawasan Deir al-Balah dan Mawasi Khan Yunis di selatan Gaza mengalami malam yang sukar apabila khemah mereka dipenuhi air hujan dan diterbangkan angin kencang.

Keadaan cuaca sejuk ini turut mengakibatkan kematian seorang bayi di Gaza akibat suhu rendah, menjadikan jumlah kematian akibat kesejukan dan ketiadaan pemanas kepada tujuh orang dalam tempoh kurang seminggu.

Pasukan penyelamat menerima ratusan panggilan kecemasan daripada mereka yang terpaksa berpindah sebelum ini untuk menyelamatkan mereka dan anak-anak yang terperangkap dalam khemah serta rumah yang musnah dan ditenggelami air.

Pasukan penyelamat menyatakan mereka hanya boleh membawa mereka yang terpaksa berpindah itu daripada tempat perlindungan yang rosak itu ke tempat lain yang kebanyakannya tidak sesuai untuk berlindung, dan mereka masih lagi tanpa tempat berteduh daripada hujan dan angin yang sejuknya menusuk ke tulang.

Malapetaka kemanusiaan yang kritikal memaksa kira-kira dua juta orang meninggalkan kediaman mereka sejak 7 Oktober 2023 dan tinggal di khemah usang yang tidak memenuhi keperluan asas kehidupan dan tidak mampu melindungi mereka daripada kedinginan musim sejuk selepas rumah mereka dimusnahkan oleh tentera Israel.

-BERNAMA-WAFA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619