Mayat dalam beg: Pertengkaran wang disyaki punca wanita dibunuh

20 Dis 2025, 9:36 AM
Mayat dalam beg: Pertengkaran wang disyaki punca wanita dibunuh

SHAH ALAM, 20 DIS: Siasatan awal polis mendapati pembunuhan tragis seorang wanita yang mayatnya ditanam di belakang sebuah rumah di Pedas, Rembau dipercayai berpunca daripada pertengkaran berkaitan wang antara mangsa dan suspek utama.

Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar, berkata siasatan awal menunjukkan berlaku pertelingkahan antara mereka sebelum kejadian.

Menurutnya, mangsa dipercayai meminta wang daripada suspek, namun siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti motif sebenar.

“Suspek utama yang ditahan di Genting Sempah semalam baru sahaja direman pagi ini. Proses soal siasat masih berjalan bagi merungkai motif sebenar kejadian.

“Bagaimanapun, siasatan awal mendapati berlaku pertengkaran antara mangsa dan suspek, dipercayai berkaitan permintaan wang oleh mangsa,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Beliau berkata polis meneliti pelbagai sudut siasatan bagi mendapatkan gambaran penuh insiden tersebut, termasuk kemungkinan wujud motif lain yang masih belum dikenal pasti.

Sebelum ini, dua lelaki ditahan masing-masing di Melaka dan Genting Sempah susulan penemuan mayat wanita berkenaan di dalam sebuah beg yang ditanam di belakang rumah kosong berhampiran Kampung Batu 4, Pedas.

Sementara itu, Polis Daerah Ampang turut meminta bantuan orang ramai mengesan Suri Narudin, 53, yang dilaporkan hilang sejak 8 Disember lalu bagi membantu siasatan berkaitan kes tersebut.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619