Mayat wanita dalam beg: Lelaki ditahan kurang 12 jam, direman tujuh hari

19 Dis 2025, 6:05 AM
Mayat wanita dalam beg: Lelaki ditahan kurang 12 jam, direman tujuh hari

SHAH ALAM, 19 DIS: Seorang lelaki ditahan bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat seorang wanita yang ditemui di dalam beg dan ditanam di belakang sebuah rumah tidak berpenghuni berhampiran Kampung Batu 4, Pedas, Seremban semalam.

Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner Idzam Jaafar berkata suspek berusia 41 tahun ditahan di Melaka pada petang hari yang sama.

“Susulan penemuan mayat wanita di belakang sebuah rumah tidak berpenghuni dekat Pedas, semalam, pihak kami menggerakkan pasukan untuk mengesan suspek.

“Hasil risikan dan siasatan yang dijalankan, kami berjaya mengesan suspek di satu lokasi di Melaka sebelum menahannya kurang 12 jam daripada penemuan mayat berkenaan,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Menurut beliau, suspek kemudian dibawa ke Mahkamah Majistret Tampin pagi tadi bagi permohonan reman.

“Majistret membenarkan suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 25 Disember depan bagi siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Idzam berkata proses bedah siasat sedang dijalankan pagi ini di Bahagian Perubatan Forensik Hospital Rembau bagi mengenal pasti identiti mangsa serta punca kematian.

“Buat masa ini pihak kami menunggu laporan bedah siasat dan pengecaman daripada ahli keluarga sebelum menjalankan siasatan lanjut mengenai kaitan suspek dengan mangsa,” katanya.

Beliau menambah, sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa memandangkan siasatan masih diteruskan.

Semalam media melaporkan polis mengesahkan mayat yang ditemui itu disyaki mempunyai kaitan dengan laporan orang hilang yang dibuat di daerah Ampang, Selangor.

Kelmarin, polis turut meminta bantuan orang ramai bagi mengesan seorang wanita yang dilaporkan hilang sejak 8 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid dilaporkan berkata laporan kehilangan membabitkan Suri Narudin, 53, telah dibuat oleh ibu saudaranya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619