PM bincang konflik Kemboja-Thailand dengan Trump

13 Dis 2025, 12:08 AM
PM bincang konflik Kemboja-Thailand dengan Trump

KUALA LUMPUR, 13 DIS: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengadakan perbincangan dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berhubung konflik Kemboja-Thailand.

Menerusi hantaran di Facebook, Anwar berkata perkara itu dibincangkan semasa beliau menerima panggilan telefon daripada Trump, yang turut membangkitkan mengenai hubungan dua hala serta isu global yang menjadi kepentingan bersama.

“Berhubung ketegangan di sempadan Kemboja-Thailand, saya menjelaskan peranan Malaysia yang menggesa kedua-dua negara agar bertenang dan kembali ke meja rundingan melalui dialog serta mekanisme dua hala dan Asean.

“Malaysia kekal bersedia membantu usaha meredakan keadaan, melindungi orang awam dan memulihkan kestabilan serantau, selaras dengan semangat kejiranan baik Asean,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata sebagai Pengerusi Asean, Malaysia akan memanggil Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar Asean dalam masa terdekat, bagi menilai situasi dan menyokong langkah meredakan ketegangan di rantau ini.

“Saya turut menyampaikan penghargaan atas keterlibatan aktif Amerika Syarikat dengan Asean, serta keyakinan yang diberikan kepada Malaysia sebagai Pengerusi Asean 2025,” kata Perdana Menteri.

Konflik sempadan Kemboja-Thailand yang berlanjutan sejak seabad lalu, kembali tegang pada Julai dan membawa kepada pertempuran tentera selama lima hari.

Kedua-dua negara kemudian bersetuju untuk gencatan senjata di Kuala Lumpur pada 24 Julai, sebelum menandatangani Perjanjian Damai Kuala Lumpur pada 26 Oktober iaitu ketika berlangsungnya Sidang Kemuncak Asean ke-47, dengan disaksikan oleh Anwar selaku Pengerusi Asean dan Trump.

Bagaimanapun, pertempuran kembali tercetus baru-baru ini, menyebabkan beberapa kematian dan ribuan penduduk kehilangan tempat tinggal.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619