Mangsa banjir di Selangor, Perak terus berkurangan pagi ini

8 Dis 2025, 2:08 AM
Mangsa banjir di Selangor, Perak terus berkurangan pagi ini
Mangsa banjir di Selangor, Perak terus berkurangan pagi ini
Mangsa banjir di Selangor, Perak terus berkurangan pagi ini

KUALA LUMPUR, 8 DIS: Situasi banjir di Selangor dan Perak pagi ini menyaksikan trend penurunan jumlah mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS) berbanding malam tadi namun beberapa kawasan masih berada pada paras bahaya serta berjaga-jaga.

Di SELANGOR, jumlah mangsa yang masih berada di PPS berkurangan kepada 38 orang daripada 12 keluarga berbanding 40 orang daripada 13 keluarga malam tadi.

Menurut laman sesawang InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, kesemua mangsa berlindung di satu PPS yang masih beroperasi di Kuala Selangor iaitu Sekolah Rendah Agama Pasangan.

Di PERAK, 613 mangsa daripada 174 keluarga masih berada di tujuh PPS di tiga daerah berbanding 680 orang daripada 195 keluarga malam tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak memaklumkan semua mangsa yang ditempatkan di PPS sejak tiga minggu lalu belum dibenarkan pulang kerana rumah mereka masih digenangi air.

Daerah Hilir Perak merekodkan jumlah tertinggi iaitu 304 orang daripada 80 keluarga di empat PPS diikuti Manjung iaitu 163 orang daripada 47 keluarga di dua PPS manakala 146 mangsa daripada 47 keluarga masih berlindung di PPS Dewan Kompleks Belia dan Sukan Bagan Datuk.

Jabatan Pengairan dan Saliran Perak memaklumkan paras air Sungai Bidor di Changkat Jong berada pada paras bahaya iaitu 3.65 meter (m) berbanding paras normal dua meter manakala Sungai Slim di Slim River merekodkan paras berjaga-jaga pada 25.34 m berbanding paras normal 23.5 m.

Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan daerah Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim mengalami hujan pada sebelah pagi dan malam serta ribut pada sebelah petang manakala Kinta, Kampar serta Kuala Kangsar diramal menerima hujan pada sebelah petang dan malam.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619