Kerajaan cadang status tingkatan enam setaraf matrikulasi

27 Nov 2025, 10:01 AM
Kerajaan cadang status tingkatan enam setaraf matrikulasi

KOTA KINABALU, 27 NOV: Kerajaan Persekutuan bercadang untuk menaik taraf status pelajar Tingkatan Enam supaya setaraf dengan pelajar program pengajian matrikulasi, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata usul berkenaan telah dikemukakan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

"Dulu, Tingkatan Enam dianggap sebahagian daripada sekolah (manakala) matrikulasi atau asasi lain, ada elaun. Oleh itu, status pelajar Tingkatan Enam ini mesti sama dengan matrikulasi.

"Apa sahaja yang diberikan untuk pelajar matrikulasi harus sama dengan pelajar Tingkatan Enam," kata beliau pada sesi dialog awam Program PMX Sayang Sabah Bersama Anak Muda Inanam di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata kerajaan juga merancang untuk menubuhkan sebuah Kolej Tingkatan Enam di Sabah yang dilengkapi kemudahan asrama pelajar.

Dalam Persidangan Dewan Rakyat baru-baru ini, Fadhlina memaklumkan Kementerian Pendidikan sedang meneliti potensi menjadikan Keningau sebagai hab pendidikan termasuk mempertimbangkan penubuhan sebuah Kolej Tingkatan Enam di daerah itu.

Langkah berkenaan sejajar dengan hasrat kerajaan untuk memperluas peluang pembelajaran pascamenengah kepada pelajar luar bandar.

Anwar berkata semua pembangunan termasuk menyediakan infrastruktur pendidikan seperti menaik taraf sekolah daif negeri ini adalah hasil kerjasama baik antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah.

Beliau berkata anak-anak muda Sabah perlu dilengkapi dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran kerana generasi berpendidikan bukan sahaja mampu memajukan diri dan keluarga, malah turut menyumbang kepada pembangunan negeri dan negara.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619