Dakwaan pegawai ATM jual maklumat taktikal: Kementerian Pertahanan jalankan siasatan dalaman menyeluruh

11 Nov 2025, 12:29 AM
Dakwaan pegawai ATM jual maklumat taktikal: Kementerian Pertahanan jalankan siasatan dalaman menyeluruh

SHAH ALAM, 11 NOV: Kementerian Pertahanan sedang melakukan siasatan dalaman secara menyeluruh berhubung dakwaan penjualan maklumat taktikal oleh pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM), baru-baru ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata siasatan itu sedang dijalankan dengan kerjasama pihak berkuasa keselamatan yang lain.

Beliau berkata, tindakan tatatertib dan undang-undang sewajarnya akan diambil terhadap mana-mana individu yang terbukti terbabit kegiatan itu, lapor Berita Harian.

"Bagi memastikan keyakinan negara-negara anggota ASEAN termasuk Thailand dan Kemboja, tidak terjejas, kementerian sudah mengambil beberapa langkah.

"Langkah itu ialah memperketatkan kawalan keselamatan maklumat, termasuk semakan semula tatacara pengendalian maklumat taktikal serta pemantauan rapi terhadap penggunaan sistem komunikasi dan teknologi.

"Seterusnya, mengukuhkan kerjasama perisikan dan ketenteraan dua hala serta serantau, dengan memberi jaminan bahawa kebolehpercayaan dan integriti ATM tetap tidak terjejas.

"Selain itu, melaksanakan sesi libat urus diplomatik dan ketenteraan dengan rakan sejawat di ASEAN bagi menjelaskan kedudukan sebenar serta menegaskan komitmen Malaysia dalam memastikan keselamatan maklumat terus terpelihara," katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan laman sesawang Parlimen.

Beliau menjawab soalan Datuk Khlir Mohd Nor (PN-Ketereh) mengenai langkah diambil Kementerian Pertahanan untuk meyakinkan negara-negara anggota ASEAN, khususnya Thailand dan Kemboja, susulan pendedahan media berhubung dakwaan penjualan maklumat taktikal oleh pegawai-pegawai ATM, baru-baru ini.

Khlir juga bertanya sama ada perkara berkenaan akan menjejaskan peranan Malaysia sebagai ketua misi pendamai.

Mengenai peranan Malaysia dalam perjanjian damai antara Thailand dengan Kemboja, Mohamed Khaled berkata, pihaknya yakin kedua-dua negara itu akan memenuhi komitmen yang sudah dipersetujui bersama.

Katanya, perkara itu dapat dilihat melalui pemeteraian Kuala Lumpur Peace Accord atau Perjanjian Damai Kuala Lumpur yang disaksikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Perdana Menteri Thailand, Perdana Menteri Kemboja dan Presiden Amerika Syarikat (AS) pada 26 Oktober lalu.

"Kemajuan fizikal di lapangan turut dilaporkan, termasuk penarikan balik senjata berat seperti pelancar roket berganda (multiple launch rocket system - MLRS), meriam artileri, mortar serta kereta kebal, pembersihan periuk api dan pemulihan keadaan di kawasan sempadan.

"Selain itu, Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Pertahanan juga terbabit secara aktif dalam menyelaras serta mengetuai ASEAN Observer Team (AOT) bagi memastikan perjanjian gencatan senjata terus dipatuhi, dihormati dan dilaksanakan dengan lancar antara kedua-dua negara," katanya.

Beliau berkata, komitmen itu turut ditegaskan ketika Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) serta ADMM-Plus pada 31 Oktober dan 1 November lalu.

"Kementerian Pertahanan ingin menegaskan kes penahanan pegawai-pegawai ATM terbabit adalah bersifat terpencil dan tidak mencerminkan integriti serta kewibawaan keseluruhan organisasi ATM," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619