SHAH ALAM, 19 MAC: Kehadiran dua kapal tempur pesisir (LCS) milik Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) di Pulau Pinang hanyalah persinggahan sementara atau 'port of call' untuk urusan logistik sebelum meneruskan pelayaran ke destinasi seterusnya.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata kapal USS Santa Barbara (LCS 32) dan USS Tulsa (LCS 16) berlabuh di Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT), Pulau Pinang dari 14 hingga 16 Mac lalu.
Menurutnya, persinggahan tersebut bertujuan membolehkan kapal melaksanakan urusan ulang bekal, penyelenggaraan serta memberi ruang rehat kepada anak-anak kapal sebelum meneruskan pelayaran.
“Port of call oleh kapal tentera laut asing di pelabuhan Malaysia merupakan amalan lazim dalam hubungan pertahanan serta pelayaran antarabangsa, selain menjadi sebahagian aktiviti diplomasi pertahanan bagi meningkatkan keyakinan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, persinggahan itu membolehkan kapal melaksanakan urusan seperti pengisian bekalan, penyelenggaraan ringan serta memberi ruang rehat kepada anak kapal.
Tambahnya, setiap kehadiran kapal tentera laut asing perlu melalui saluran rasmi dan tertakluk kepada kelulusan Kerajaan Malaysia.
Mohamed Khaled berkata, aktiviti 'port of call' turut dilaksanakan secara berkala melibatkan negara rakan sebagai sebahagian kerjasama dua hala dan pelbagai hala.
Sepanjang 2025, Malaysia merekodkan 75 kunjungan kapal tentera laut asing dari 14 negara termasuk AS, China, Jepun dan Australia.
Menurutnya, kehadiran tersebut mencerminkan peranan Malaysia dalam memastikan kestabilan serantau dan keselamatan sejagat seperti digariskan dalam Kertas Putih Pertahanan.








