Selangor sedia tawaran kerja bergaji tinggi, mahir AI, TVET

11 Nov 2025, 12:00 AM
Selangor sedia tawaran kerja bergaji tinggi, mahir AI, TVET

SHAH ALAM, 11 NOV: Karnival Jelajah JobCare Selangor tahun hadapan akan memberi tumpuan kepada tawaran kerja berasas sektor kecerdasan buatan (AI) serta program pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET).

EXCO Sumber Manusia V Papparaidu berkata penekanan itu membolehkan pencari kerja mendapat jaminan bergaji tinggi selain mampu memenuhi keperluan industri masa kini.

“Hala tuju tahun hadapan mungkin akan lebih fokus kepada pekerjaan berpendapatan lumayan sebab ia menjamin kehidupan yang selesa. Jadi kita harap dapat terima peruntukan tinggi untuk jayakan.

“Kalau anak Selangor mampu kuasai ini peluang luas untuk mereka terima gaji tinggi. Kita akan usahakan supaya syarikat dan majikan dalam sektor ini akan menyertai karnival kerjaya dilaksanakan negeri,” katanya kepada Media Selangor.

Papparaidu berkata pihaknya juga sedia bekerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia bagi memastikan lebih ramai pencari kerja mendapat manfaat program jelajah berkenaan.

Tahun ini, Karnival Jelajah JobCare yang bermula 19 April lalu melibatkan sembilan daerah menawarkan lebih 40,000 peluang pekerjaan termasuk kepada golongan orang kelainan upaya (OKU) dan bekas banduan.

Karnival kerjaya dijalankan bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial itu merangkumi pelbagai sektor seperti perkhidmatan, pembuatan, pemasaran, kesihatan, pelancongan, hospitaliti dan pengangkutan.

Selain itu, Karnival Kerjaya Jobcare Istimewa Selangor yang menyasarkan golongan rentan diadakan di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam turut menawarkan lebih 6,000 kekosongan pekerjaan melibatkan pelbagai bidang.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619