Geran KRT aktif dicadang naik hingga RM10,000 setahun

3 Nov 2025, 12:22 PM
Geran KRT aktif dicadang naik hingga RM10,000 setahun

KUALA LUMPUR, 3 NOV: Kementerian Perpaduan Negara sedang meneliti untuk menaikkan kadar geran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) yang aktif hingga RM10,000 setahun, sebagai usaha memperkasakan peranan komuniti dalam memupuk perpaduan dan menjana ekonomi setempat.

Menterinya berkenaan Datuk Aaron Ago Dagang berkata ketika ini, terdapat 8,586 KRT di seluruh negara dengan setiap satunya menerima geran tahunan RM6,000 bagi melaksanakan program keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan masyarakat.

“Kementerian mengakui jumlah peruntukan sedia ada memang tidak mencukupi bagi memastikan KRT memainkan peranan lebih besar. Oleh itu, kerajaan sedang meneliti kaedah menaikkan kadar geran kepada KRT hingga RM10,000 setahun mengikut tahap keaktifan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 peringkat dasar bagi kementerian itu, di Dewan Rakyat hari ini.

Aaron memaklumkan sejak pelancaran Pelan Pemerkasaan Rukun Tetangga Progresif pada 2023, sebanyak 504 projek ekonomi komuniti telah dibangunkan merangkumi perusahaan makanan, pelancongan komuniti, kraftangan dan produk bukan makanan.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE), yang berhasrat menyediakan perkhidmatan penjagaan warga emas seperti pusat jagaan harian atau kediaman, perlu menukar pendaftaran di bawah Akta Pusat Jagaan 1993 (Akta 506).

Beliau berkata PAWE tidak dibenarkan berfungsi sebagai pusat jagaan, memandangkan peranan dan pengoperasiannya berbeza iaitu menyediakan aktiviti rekreasi, sosial dan pembelajaran bagi menggalakkan warga emas hidup berdikari.

“Pendaftaran PAWE tidak membolehkan mereka mengoperasikan pusat jagaan. Namun, sekiranya mana-mana PAWE mempunyai premis bersesuaian serta boleh penuhi syarat dan berhasrat untuk menyediakan perkhidmatan pusat jagaan, mereka boleh menukar pendaftaran mengikut Akta 506,” katanya ketika menggulung perbahasan bagi kementerian itu.

Nancy berkata Akta 506 menetapkan beberapa keperluan penting termasuk penyediaan penjaga terlatih, kemudahan yang mencukupi serta pematuhan nisbah ruang lantai dengan jumlah penghuni, bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan warga emas.

Beliau memaklumkan sebanyak 193 PAWE kini beroperasi di seluruh negara, yang memberi manfaat kepada lebih 50,000 warga emas melalui pelbagai aktiviti sihat dan bermanfaat seperti senaman, program keagamaan serta latihan celik digital.

Persidangan bersambung esok.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619