AGENDA

974 rukun tetangga dikesan tidak aktif, gagal main peranan dalam komuniti

26 Mac 2022, 3:14 PM
974 rukun tetangga dikesan tidak aktif, gagal main peranan dalam komuniti

ALOR SETAR, 26 MAC: Kementerian Perpaduan Negara mengesan 974 daripada 8,330 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) yang berdaftar di seluruh negara yang tidak aktif memainkan peranan di kawasan masing-masing.

Menterinya Datuk Halimah Mohamed Sadique bagaimana pun berkata kerajaan tidak berhasrat membatalkan pendaftaran KRT yang tidak aktif itu, sebaliknya akan berusaha mengaktifkan semula peranannya.

“KRT yang tidak aktif kita tak batal pendaftarannya, tetapi kita buat pendekatan dengan membuat pemilihan pengerusi baharu dan ahli jawatankuasa (AJK) baharu supaya komuniti setempat kembali aktif.

“Pengerusi dan AJK ini bukanlah menteri atau Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) yang tentukan, tetapi pemilihan dibuat komuniti setempat, jadi Pegawai Perpaduan Daerah yang bertanggungjawab perlu memberi kesedaran kepada komuniti setempat berkenaan perkara itu,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Geran KRT Komuniti Sejahtera, Keluarga Malaysia peringkat Negeri Kedah dan Perlis 2022 di sini hari ini.

Katanya jika pengerusi dan AJK KRT tidak dapat berfungsi dengan baik, JPNIN perlu mengambil tindakan untuk mengadakan pemilihan baharu agar KRT berkenaan dapat memainkan peranan yang sewajarnya,

Halimah berkata sesuatu KRT ditubuhkan dengan melibatkan kira-kira 1,000 buah rumah bagi memberi khidmat kepada komuniti setempat dan AJK yang menguruskannya perlu melibatkan semua kaum yang ada di kawasan itu.

Beliau berkata KRT perlu sentiasa aktif menjalankan tanggungjawabnya bukan sahaja dalam menjalankan program-program tertentu tetapi untuk menyelesaikan pelbagai isu dalam sesuatu komuniti dan mengelakkan isu tersebut menular menjadi lebih besar.

“Jadi kalau KRT mendengar ada benda ‘kecil’ yang boleh menjadi besar, yang boleh menjejaskan masyarakat setempat, maka fungsi KRT ini akan menyelesaikan masalah... supaya tidak berlaku perpecahan, perbalahan dalam satu-satu kawasan KRT,” katanya.

Pada majlis itu 474 KRT daripada 502 yang aktif di negeri ini menerima geran berjumlah RM2.8 juta juta manakala 138 KRT yang aktif di Perlis menerima geran berjumlah RM828,000.

-- BERNAMA

 

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619