Kerajaan kaji langkah haramkan Roblox, UMI demi lindungi kanak-kanak

1 Nov 2025, 7:25 AM
Kerajaan kaji langkah haramkan Roblox, UMI demi lindungi kanak-kanak

KUCHING, 1 NOV: Kerajaan sedang meneliti kemungkinan mengharamkan aplikasi permainan dalam talian popular Roblox dan UMI, susulan kebimbangan mengenai keselamatan dan kandungan yang mempengaruhi golongan muda.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata perkara itu masih di peringkat perbincangan, dengan keputusan muktamad akan mengambil kira langkah bakal diambil oleh Australia yang merancang melaksanakan peraturan baharu terhadap Roblox Disember ini.

“Kita masih menunggu dan melihat bagaimana Australia melaksanakan peraturan itu. Mereka sedang merancang, tetapi belum dilaksanakan.

“Malaysia akan menilai sama ada pendekatan itu sesuai dengan keadaan dan budaya tempatan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Latih Amal dan Simulasi Pengurusan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai kejadian kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang parah akibat dikelar abangnya berusia sembilan tahun dengan objek tajam di Kampung Parit Nipah, Parit Raja, Batu Pahat Isnin lalu.

Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad dalam sidang media tiga hari lalu dilaporkan berkata motif masih dalam siasatan, namun siasatan awal mendapati abang mangsa berkemungkinan mencederakan adiknya selepas permainan Roblox yang dimainkan terganggu dan semua 'point' dikumpulnya hilang.

Sementara itu, kerajaan Australia sedang meneliti sekatan penggunaan Roblox bagi pengguna berusia 16 tahun ke bawah, atas kebimbangan bahawa platform tersebut boleh memberi pengaruh negatif serta dikaitkan dengan beberapa insiden yang mencetuskan perhatian masyarakat antarabangsa.

Menurut Nancy, pelaksanaan dasar di Australia akan dipantau terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan rasmi mengenai aplikasi tersebut.

“Memang benar, perkembangan teknologi seperti ini ada pengaruhnya terhadap kes yang berlaku. Sebab itu kita perlu berhati-hati dan belajar daripada negara lain sebelum membuat keputusan,” katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619