MyCARE Gaza hargai keberanian sembilan delegasi Malaysia

11 Okt 2025, 12:16 PM
MyCARE Gaza hargai keberanian sembilan delegasi Malaysia

SHAH ALAM, 11 OKT: Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) Gaza menzahirkan penghargaan kepada sembilan delegasi Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) ke Gaza.

Pengurus Besarnya, Dr Ziad Shehada, berkata penghargaan itu diberikan atas keberanian delegasi yang sanggup menempuh lautan bagi menghantar bantuan kemanusiaan.

“Dari lubuk hati, kami ucapkan terima kasih Malaysia, MyCARE dan wira-wira Prof Emeritus Dr Mohd Alauddin Mohd Ali, Prof Dr Mohd Afandi Salleh, Dr Fauziah Mohd Hassan, Dr Hafiz Sulaiman, Dr Noorhasyimah Ismail, Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi, Dr Maziah Mohammad, Norsham Abu Bakar dan Syafik Shukri Abdul Jalil.

“Terima kasih atas kemanusiaan, kesetiaan dan pendirian yang tidak kami lupakan. Insya-Allah kita akan bertemu lagi di Gaza,” katanya menerusi Facebook MyCARE.

Beliau turut meminta semua pihak di Malaysia, termasuk delegasi, agar tidak bimbang dengan situasi di Gaza.

Sebelum ini, MyCARE memaklumkan sembilan rakyat Malaysia berada di atas kapal Conscience dan Umm Saad yang menyertai misi kemanusiaan gelombang ketiga FFC ke Gaza terputus hubungan kira-kira jam 10.03 pagi waktu tempatan sebelum disahkan dirampas secara haram oleh Israel pada jam 10.50 pagi.

Pengerusinya, Prof Dato’ Seri Ir Dr Kamal Nasharuddin Mustapha, mengesahkan lapan rakyat Malaysia berada di atas kapal Conscience dan seorang di kapal Umm Saad.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MyCARE, Kamarul Zaman Shaharul Anwar, menjelaskan pintasan oleh tentera Israel kali ini dilakukan lebih awal pada jarak 120 batu nautika, berbanding kebiasaan 100 batu nautika.

Kesemua rakyat Malaysia yang ditahan kini telah dibebaskan dan dijangka pulang ke tanah air esok menaiki penerbangan dari Istanbul, Turkiye.

Misi FFC kali ini disertai kira-kira 150 peserta dari 25 negara dengan MyCARE mengetuai delegasi Malaysia.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619