Kes murid ditemui mati dalam tandas, polis rakam keterangan 35 individu

4 Okt 2025, 6:09 AM
Kes murid ditemui mati dalam tandas, polis rakam keterangan 35 individu

SEREMBAN, 4 OKT: Polis mengambil keterangan 35 individu setakat ini berhubung kes murid lelaki tahun empat yang ditemukan tidak sedarkan diri di sebuah sekolah di Senawang di sini, empat hari lepas.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad berkata mereka terdiri pelajar, guru, petugas sekolah serta doktor dan keluarga mangsa.

“Kita juga sedang mendapatkan beberapa laporan dan rekod daripada sekolah terbabit, forensik dan hospital. Dijangka dalam masa terdekat kertas siasatan akan dimajukan kepada Timbalan Pendakwa Raya.

“Siasatan lanjut masih dijalankan ketika ini mengikut Seksyen 507C Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan buli dan orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi yang tidak berasas sehingga mengganggu proses siasatan,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Pada Rabu lepas, kanak-kanak berusia 10 tahun itu ditemukan tidak sedarkan diri dalam tandas sekolah terbabit sebelum disahkan meninggal dunia.

Alzafny sebelum ini dilaporkan berkata bedah siasat di Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau mendapati punca kematian kanak-kanak itu disebabkan tekanan pada leher dan tiada sebarang kecederaan lain pada tubuh badan mangsa.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek turut dilaporkan berkata kementeriannya menyerahkan sepenuhnya siasatan berhubung kes itu kepada polis dan menegaskan ia akan dijalankan secara telus.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619