AS iktiraf kejayaan Malaysia memudah cara perjanjian gencatan senjata Kemboja-Thailand

25 Sep 2025, 10:29 AM
AS iktiraf kejayaan Malaysia memudah cara perjanjian gencatan senjata Kemboja-Thailand

AS IKTIRAF KEJAYAAN MALAYSIA MEMUDAH CARA GENJATAN SENJATA KONFLIK THAI-KEMBOJA - PM

KUALA LUMPUR, 25 SEPT: Amerika Syarikat (AS) mengiktiraf kejayaan Malaysia dalam memudah cara perjanjian gencatan senjata antara Kemboja-Thailand dan menyifatkannya sebagai pencapaian besar yang memperlihatkan kewibawaan negara serta keteguhan ASEAN.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu dinyatakan Presiden AS Donald Trump menerusi panggilan telefon hari ini.

Dalam perbualan itu, Anwar turut menegaskan komitmen Malaysia selaku Pengerusi ASEAN untuk terus memainkan peranan proaktif dalam memastikan keamanan serantau, khususnya terkait isu Kemboja-Thailand.

“Saya turut sampaikan penghargaan kepada beliau atas peranan yang dimainkan oleh AS dalam memastikan gencatan senjata tersebut tercapai," katanya menerusi hantaran di Facebook.

Malaysia, dengan sokongan AS dan China, menjadi perantara dalam memeterai perjanjian damai bagi menamatkan konflik ketenteraan antara Kemboja dengan Thailand pada 28 Julai lepas dan mesyuarat Luar Biasa Jawatankuasa Sempadan Am di sini pada 7 Ogos bagi mengukuhkan perjanjian damai itu.

Thailand dan Kemboja bersetuju melaksanakan gencatan senjata serta-merta tanpa syarat susulan ketegangan yang memuncak antara kedua-dua negara di sepanjang sempadan yang dipertikai.

Persetujuan itu dicapai dalam pertemuan khas antara Perdana Menteri Kemboja Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand ketika itu Phumtham Wechayachai di Putrajaya, yang dipengerusikan oleh Anwar pada hari sama.

Menerusi hantaran itu, Perdana Menteri juga berkata Malaysia menantikan kehadiran Trump ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 bulan depan, yang akan menjadi platform penting untuk mengukuhkan kerjasama demi keamanan, kestabilan dan kemakmuran serantau.

Perbualan telefon antara kedua-dua pemimpin berlangsung ketika Anwar menerima kunjungan hormat Wakil Perdagangan Amerika Syarikat Jamieson Greer yang berada di Malaysia bagi menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-57 dan Mesyuarat Berkaitan.

-- BERNAMA

TAG: Anwar Ibrahim, Donold Trump, AS, Malaysia, ASEAN, Thailand, Kemboja

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619