Menteri: Kerajaan akan perkenal beberapa mekanisme kawalan subsidi RON95

23 Sep 2025, 2:20 AM
Menteri: Kerajaan akan perkenal beberapa mekanisme kawalan subsidi RON95

GEORGE TOWN, 23 SEPT: Kerajaan akan memperkenalkan beberapa mekanisme kawalan untuk memastikan pelaksanaan penyasaran subsidi petrol RON95 berjalan lancar dan tidak disalah guna.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata langkah itu, antara lain, bagi memastikan golongan seperti pemandu e-hailing yang memerlukan lebih 300 liter sebulan benar-benar layak melalui pengesahan bersama syarikat masing-masing.

“Kalau kelayakan itu ada, mereka boleh memohon dengan sokongan syarikat. Kita boleh mengesahkan penggunaan tersebut melalui rekod sistem e-hailing sama ada benar-benar digunakan untuk bekerja.

“Kerajaan juga tidak akan membenarkan penggunaan yang terlalu banyak dalam sehari,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Jelajah Mega E-Invois Siri 2/2025 Peringkat Nasional di sini, hari ini.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan. Foto BERNAMA

Beliau berkata semua warganegara Malaysia berumur 16 tahun ke atas dan memiliki lesen memandu layak menerima siling kelayakan bulanan subsidi bersasar petrol RON95 atau BUDI MADANI RON95 (BUDI95) hingga 300 liter sebulan.

Amir Hamzah berkata persediaan pelaksanaan subsidi bersasar RON95 berada pada tahap yang baik selepas semua syarikat minyak mengesahkan kesiapsiagaan masing-masing termasuk kemudahan mesin di stesen minyak.

“Mesin untuk digunakan di kedai sudah disediakan dan kebanyakan syarikat minyak juga telah mengaktifkan sistem di terminal pembayaran sama ada di pam atau di kaunter stesen minyak.

“Persediaan ini mencukupi, namun kita tahu tiada perkara yang sempurna dan sesuatu yang baharu mungkin menghadapi sedikit kesukaran, jadi saya harap rakyat dapat bersabar. Perkara yang penting, kerajaan akan tetap memenuhi janji,” katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619