Sindiket lepas warga asing tumpas, 27 individu termasuk 18 penguat kuasa ditahan

10 Sep 2025, 1:02 PM
Sindiket lepas warga asing tumpas, 27 individu termasuk 18 penguat kuasa ditahan
Sindiket lepas warga asing tumpas, 27 individu termasuk 18 penguat kuasa ditahan
Sindiket lepas warga asing tumpas, 27 individu termasuk 18 penguat kuasa ditahan

KUALA LUMPUR, 10 SEPT: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 27 individu termasuk 18 pegawai agensi penguat kuasa kerana disyaki terbabit dengan sindiket counter setting yang melepaskan warga asing masuk ke negara ini tanpa mengikut prosedur ditetapkan.

Menurut sumber kesemua suspek terdiri daripada 19 lelaki dan lapan wanita yang berusia lingkungan 20 hingga 50 tahun, ditahan dalam satu operasi di sekitar Selangor, Melaka, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan, semalam.

“Suspek yang ditahan disyaki terlibat sindiket counter setting, yang mereka dipercayai telah memberi dan menerima wang rasuah, sebagai balasan untuk memudahkan urusan kemasukan warga negara asing ke negara ini tanpa menerusi prosedur yang ditetapkan.

“Susulan operasi itu juga SPRM telah menyita wang tunai lebih RM200,000, beberapa unit barangan kemas, kepingan emas, kereta, motosikal, beg tangan, jam tangan dan peranti telekomunikasi,” menurut sumber itu.

Sumber juga memaklumkan SPRM telah membekukan 40 akaun perbankan melibatkan 34 akaun individu dan enam akaun syarikat dengan nilai melebihi RM1 juta susulan operasi berkenaan.

Selain itu, SPRM sudah membuat permohonan reman di Mahkamah Majistret Shah Alam, Melaka, Seremban dan Kuala Lumpur pagi tadi, dan kesemua suspek kini direman tiga hingga tujuh hari iaitu sehingga 12 hingga 16 September ini.

“Selain 18 pegawai agensi penguat kuasa, turut direman ialah lima pemilik syarikat, seorang pengurus syarikat dan tiga orang awam,” kata sumber itu.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya mengesahkan tangkapan itu dan menyatakan bahawa siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 16 dan 17 Akta SPRM 2009.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619