Datuk bandar PJ turun padang gempur iklan haram

6 Sep 2025, 1:48 AM
Datuk bandar PJ turun padang gempur iklan haram

PETALING JAYA, 6 SEPT: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) terus memperketat penguatkuasaan terhadap iklan tanpa permit apabila Datuk Bandarnya, Mohamad Zahri Samingon sendiri turun padang menyita papan iklan haram di Lebuhraya Persekutuan, semalam.

Tindakan drastik itu diambil selepas pemilik struktur berskala besar milik sebuah syarikat automotif enggan mematuhi notis pematuhan meskipun telah diberi amaran sebanyak dua kali sebelum ini.

“Kita sudah putuskan bekalan elektrik dengan bantuan Tenaga Nasional Berhad (TNB), mereka guna penjana. Kita sita. Kini mereka guna solar dan pasang CCTV pula, seolah-olah mencabar pihak berkuasa,” katanya dipetik Harian Metro ketika operasi tengah malam tadi.

Mohamad Zahri menegaskan, tindakan ke atas papan iklan bersaiz 37 meter panjang dan sembilan meter tinggi itu dilakukan atas semangat integriti serta memastikan garis panduan periklanan dipatuhi semua pihak tanpa mengira saiz syarikat.

“Tak kira besar atau kecil, semua wajib ikut peraturan. Kalau saya sendiri tidak bertindak, ia beri isyarat salah kepada pihak lain. Kita mahu elak perbuatan ini berleluasa dan jadi ikutan,” katanya lagi.

Beliau berkata, MBPJ terbuka menerima permohonan pengiklanan dari mana-mana pihak, namun ia mesti diluluskan mengikut prosedur dan tidak boleh dipasang secara sembarangan.

“Saya tak suka beri amaran. Tapi saya akan terus nasihat semua pihak – iklan apa pun, pastikan dapat kelulusan sah. Kalau tidak, kita terpaksa ambil tindakan,” ujarnya.

Beliau turut menekankan keutamaan menjaga imej bandar serta keselamatan pengguna jalan raya apabila struktur iklan haram dibina tanpa penilaian teknikal yang sah dari pihak berkuasa tempatan.

Operasi semalam turut menyaksikan Mohamad Zahri memotong sendiri sebahagian kanvas iklan berkenaan sebagai simbolik ketegasan MBPJ membanteras aktiviti periklanan tidak berlesen.

Tambahnya, tindakan sebegini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang periklanan serta tidak berkompromi dengan sebarang bentuk ketidakpatuhan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619