Agong berkenan pandu uji ETS dari Kuala Lumpur ke Rawang

19 Ogos 2025, 8:22 AM
Agong berkenan pandu uji ETS dari Kuala Lumpur ke Rawang

KUALA LUMPUR, 19 OGOS: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini berkenan memandu Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) dari Kuala Lumpur ke Rawang.

Menurut hantaran di Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Seri Paduka Baginda berangkat tiba di Stesen Keretapi Kuala Lumpur pada 9.15 pagi sebelum berkenan memasuki kokpit ETS2 untuk dipersembahkan taklimat pemanduan oleh Kapten Roslan, Kapten Hairul Yani dan Kapten Syukri Ghazali.

Turut bersama dalam sesi taklimat ialah Ketua Kawalan Operasi KTMB Sadun Abdullah dan Inspektor Lokomotif Kamal Asmawi.

Mengiringi Seri Paduka Baginda dalam pemanduan selama sejam itu ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Seri Jana Santhiran Muniayan, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Tan Sri Dr Azmi Rohani serta Ketua Pegawai Teknikal merangkap Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif KTMB Ahmad Nizam Mohamed Amin.

Sultan Ibrahim sebelum ini mencatat sejarah apabila diiktiraf Malaysia Book of Records sebagai Sultan pertama di negara ini memiliki Lesen Memandu Lokomotif Berkuasa Tinggi Kelas 26 pada 2010 dan pernah memandu kereta api pada program Kembara Mahkota Johor (KMJ 2010).

Seri Paduka Baginda memperoleh lesen memandu kereta api serta melakukan prosedur turn table bagi memusingkan lokomotif 86 tan dalam tempoh 10 minit di Stesen Gemas, Negeri Sembilan, sekali gus diiktiraf sebagai sultan pertama memandu kereta api sejauh 391.3 kilometer selama tiga hari.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619