KPM audit, tambah baik SOP keselamatan institusi pendidikan

11 Ogos 2025, 5:24 AM
KPM audit, tambah baik SOP keselamatan institusi pendidikan

PUTRAJAYA, 11 OGOS: Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengambil beberapa langkah penting bagi memastikan isu keselamatan di semua institusi pendidikan bawah kelolaan kementerian itu terpelihara, antaranya melaksanakan audit keselamatan di semua institusi pendidikan termasuk Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan asrama harian.

Ketua Pengarah Pendidikan Dr Mohd Azam Ahmad dalam kenyataan hari ini berkata audit itu memberi tumpuan kepada pematuhan semua tatacara operasi piawai (SOP) yang terkait dengan aspek keselamatan.

“Hasil laporan audit ini akan dibentangkan kepada Pengurusan Tertinggi KPM dalam tempoh tiga bulan. Kementerian juga akan menambah baik SOP keselamatan sekolah dan langkah-langkah bagi menangani isu disiplin termasuk salah laku buli di semua institusi pendidikan KPM.

“SOP dan garis panduan sedia ada akan dikaji semula bagi memastikan ia relevan dengan keperluan semasa dan akan datang,” katanya.

Selain itu, Mohd Azam berkata sistem aduan sedia ada termasuk portal Aduan Buli akan direformasikan, dipermudahkan dan mempunyai pilihan anonim bagi melindungi identiti pengadu dan saksi.

Beliau berkata pihaknya akan menubuhkan jawatankuasa reformasi keselamatan institusi pendidikan KPM, bagi memastikan aspek keselamatan diperkasakan.

“Keahlian jawatankuasa ini melibatkan ahli akademik, badan bukan kerajaan (NGO), pakar pelbagai bidang, pihak polis dan Pelibatan Ibu Bapa Komuniti dan Swasta (PIBKS).

“KPM tidak berkompromi terhadap salah laku buli dan tindakan tegas mesti diambil termasuk menerusi hukuman gantung dan buang sekolah,” katanya.

Mohd Azam berkata program intervensi ‘Bangkit Bermaruah’ yang menumpukan kepada aspek khidmat komuniti dan pembangunan sahsiah diperkenalkan khusus untuk murid yang digantung sekolah.

“Pentadbir, guru serta pegawai di pejabat pendidikan daerah dan jabatan pendidikan negeri yang tidak menguruskan aduan buli berdasar kepada garis panduan sedia ada akan dikenakan tindakan.

“Aspek sokongan psikososial terus diperkukuhkan di setiap peringkat demi memastikan kesejahteraan murid, guru dan seluruh warga sekolah,” katanya, menambah Guru Bimbingan dan Kaunseling berperanan penting dalam usaha pencegahan dan intervensi menangani salah laku buli.

Pada masa sama, Mohd Azam berkata KPM menyeru semua pihak untuk bekerjasama menangani salah laku buli secara menyeluruh dan bersepadu.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619