AGENDA

Pemeriksaan suhu badan di sekolah tidak wajib mulai esok, hanya perlu imbas MySejahtera

10 Feb 2022, 4:26 AM
Pemeriksaan suhu badan di sekolah tidak wajib mulai esok, hanya perlu imbas MySejahtera

KUALA LUMPUR, 10 FEB: Pemeriksaan suhu badan di semua premis institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) tidak diwajibkan berkuat kuasa esok.

Bagaimanapun, KPM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, semua guru, anggota kumpulan pelaksana (AKP), pekerja perkhidmatan sokongan dan pelawat masih diwajibkan mengimbas kod QR melalui aplikasi MySejahtera sebelum memasuki premis institusi pendidikan bawah KPM.

"Sebagai langkah keselamatan, ibu bapa atau penjaga dimohon supaya memastikan anak atau anak jagaan mereka berada dalam keadaan sihat dan tidak bergejala sebelum hadir ke sekolah," menurut kenyataan itu.

Ketetapan itu dibuat susulan pengumuman Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada Selasa berkaitan pemansuhan prosedur operasi standard (SOP) pemeriksaan suhu badan dan buku rekod mendaftar masuk di premis bermula esok.

KPM berkata murid yang bergejala atau mempunyai ahli keluarga yang disahkan positif dan tinggal serumah, tidak dibenarkan hadir ke sekolah.

Menurutnya tahap kesihatan murid di sekolah akan dipantau secara berterusan bagi memastikan murid yang bergejala diasingkan di bilik isolasi untuk tindakan selanjutnya.

"KPM juga menyarankan agar ketetapan ini turut terpakai di semua institusi pendidikan yang tidak berdaftar dengan KPM," katanya.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619