Polis rakam keterangan suspek kibar Jalur Gemilang terbalik

9 Ogos 2025, 1:52 PM
Polis rakam keterangan suspek kibar Jalur Gemilang terbalik

KEPALA BATAS, 9 OGOS: Polis sedang menyiasat insiden seorang lelaki mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik di hadapan sebuah kedai di sini seperti tular melalui media sosial hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara ACP Anuar Abd Rahman berkata pihaknya dalam proses siasatan awal dengan merakamkan percakapan pengadu dan suspek yang terlibat dalam kejadian itu.

"Pada 12.30 tengah hari ini, pengadu telah terlihat satu hantaran video melalui media sosial Facebook berkenaan kejadian seorang lelaki tempatan sedang mengibarkan bendera Malaysia secara terbalik manakala seorang lagi lelaki sedang merakamkannya.

"Pengadu syak kejadian itu berlaku di kawasan Kepala Batas dan telah membuat laporan polis di Balai Polis Kepala Batas," katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Terdahulu tular video berdurasi 21 saat memaparkan tindakan dua lelaki di sebuah kedai perkakasan di sini yang seperti sengaja memasang dan mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik mendapat kecaman warganet.

Berikutan itu, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Ahli Dewan Undangan Negeri Bertam Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican membuat laporan polis.

Reezal Merican berkata negara mempunyai undang-undang bagi memelihara maruah dan lambang negara, justeru siasatan dan tindakan sewajarnya perlu dilaksanakan supaya insiden sama tidak berulang.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619