Tujuh warga asing termasuk dua wanita ditahan bantu kes bunuh di Klang

7 Ogos 2025, 1:05 AM
Tujuh warga asing termasuk dua wanita ditahan bantu kes bunuh di Klang

SHAH ALAM, 7 OGOS: Tujuh warga asing termasuk dua wanita ditahan bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang lelaki di Bandar Sentosa, Klang 20 Jun lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Selatan Supt Kamalariffin Aman Shah berkata kesemua suspek berusia antara 20 hingga 34 tahun ditahan di sekitar Klang susulan laporan yang diterima daripada seorang wanita warga asing pada 23 Julai lalu.

Menurutnya, wanita itu memaklumkan kepada polis mengenai kejadian pembunuhan yang berlaku di sebuah rumah kedai di Lorong Laksamana 20, Bandar Sentosa.

Hasil siasatan mendapati mangsa, seorang lelaki warga asing berusia 28 tahun, ditikam di bahagian badan dan leher oleh teman serumahnya.

“Pertengkaran tercetus antara suspek dan mangsa ketika mereka minum minuman beralkohol, sebelum suspek bertindak menikam mangsa sehingga menyebabkan kematian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kamalariffin berkata enam lelaki lain yang turut berada di rumah kedai tersebut kemudian membawa mayat mangsa dan menanamnya di kawasan pelupusan sampah.

Hasil siasatan terhadap suspek yang ditahan membawa kepada penemuan mayat mangsa berserta senjata iaitu pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian.

Beliau berkata kertas siasatan telah dirujuk kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya, dan kesemua suspek diarahkan untuk didakwa di Mahkamah Klang hari ini.

“Suspek utama, lelaki berusia 34 tahun, akan didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Empat lagi suspek lelaki dituduh di bawah Seksyen 201 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan mayat, manakala kesemua yang ditahan turut berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah,” katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619