Dua lelaki didenda RM10,000 kawal, miliki 90 akaun bank orang lain

6 Ogos 2025, 5:32 AM
Dua lelaki didenda RM10,000 kawal, miliki 90 akaun bank orang lain

SEREMBAN, 6 OGOS: Dua lelaki masing-masing didenda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mengawal dan memiliki 90 akaun bank orang lain tanpa kebenaran.

Majistret Nurul Saqinah Rosli menjatuhkan hukuman itu terhadap Lim Jiunn Liang, 28, dan Justine Chung Yin Wei, 25, dan turut memerintahkan mereka dipenjara 12 bulan jika gagal membayar denda.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut di tempat letak kereta berhampiran sebuah bank di sini pada 9.50 pagi, 29 Julai lepas.

Kesalahan tersebut boleh dihukum di bawah Seksyen 424A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda minimum RM5,000 dan maksimum RM50,000 atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Menurut fakta kes, mereka ditahan sepasukan anggota polis dari Bahagian Risikan Operasi, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan menerusi Op Khas berkaitan penipuan dalam talian.

Kedua-duanya disyaki telah menjalankan kegiatan ejen kad ATM bank dan penipuan dalam talian.

Antara barang yang dirampas dalam operasi itu ialah sebuah kereta Honda City, 90 kad ATM pelbagai bank, enam unit telefon bimbit pelbagai jenama dan warna, buku pasport Malaysia, serta 22 keping wang kertas RM50.

Timbalan Pendakwa Raya Nik Nur ‘Aqilah Syarfa Nik Zaidi memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal terhadap mereka.

Peguam yang mewakili kedua-dua tertuduh, K. Tharani merayu denda minimum, memandangka anak guamnya masih muda dan ini merupakan kesalahan pertama mereka.

“Mereka juga menyesal dan mengambil pengajaran serta berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama. Mereka juga mengaku bersalah, sekali gus menjimatkan masa dan proses mahkamah,” katanya.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619