AGENDA

Tawar diskaun saman trafik secara haram, empat polis antara 11 individu ditahan

6 Okt 2022, 2:10 PM
Tawar diskaun saman trafik secara haram, empat polis antara 11 individu ditahan

KUALA LUMPUR, 6 OKT: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 11 individu termasuk anggota polis dan penjawat awam kerana disyaki terlibat sindiket pengurangan saman trafik sejak 2016 sehingga kini melibatkan transaksi wang lebih RM5 juta.

Mereka yang ditahan ialah empat anggota polis, enam penjawat awam dan seorang orang awam masing-masing berusia 40-an hingga 50-an.

Menurut sumber, sindiket berkenaan dipercayai mencari individu yang ingin menyelesaikan saman trafik dengan membayar sejumlah wang lebih rendah daripada nilai saman.

"Selepas menerima wang, sebahagian jumlah wang itu akan dimasukkan ke hasil kerajaan manakala selebihnya akan dikongsi dengan suspek-suspek yang bertugas di Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Kemudian, suspek akan mengeluarkan nama individu yang disaman daripada sistem PDRM," kata sumber itu.

Sumber berkata bayaran itu akan dikutip anggota sindiket seterusnya menyerahkan kepada pegawai yang membuat pengurangan kompaun menerusi sistem.

Difahamkan, sebanyak 60 akaun bank daripada suspek membabitkan jumlah keseluruhan kira-kira RM184,000 telah dibekukan SPRM.

Susulan itu, sembilan daripada 11 individu ditahan itu direman bagi membantu siasatan sementara dua lagi dibebaskan dengan jaminan SPRM selepas keterangan diambil.

"Perintah tahanan reman selama tiga hari bermula 5 Okt sehingga esok dikeluarkan Mahkamah Majistret Putrajaya selepas membenarkan permohonan SPRM,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM Datuk Seri Hishamuddin Hashim mengesahkan penahanan berkenaan.

Beliau berkata kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

“Pihak SPRM tidak menolak kemungkinan untuk memanggil beberapa lagi saksi daripada pegawai dan anggota polis serta orang awam bagi membantu siasatan,” katanya.

-- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619