AGENDA

Polis hormati hak berhimpun, pesan utamakan keselamatan awam

25 Jul 2025, 3:34 AM
Polis hormati hak berhimpun, pesan utamakan keselamatan awam

KUALA LUMPUR, 25 JULAI: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menghormati hak rakyat untuk berhimpun secara aman dan menyuarakan pandangan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan serta nilai-nilai demokrasi yang diamalkan di negara ini.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata PDRM komited untuk memainkan peranan sebagai pemudah cara bagi memastikan perhimpunan aman yang dijadual berlangsung Sabtu ini di Dataran Merdeka dapat dilaksanakan dengan lancar, selamat dan tertib.

“Dalam semangat itu, PDRM komited untuk memainkan peranan sebagai pemudah cara bagi memastikan perhimpunan ini dapat dilaksanakan dengan lancar, selamat dan menghormati ruang awam yang dikongsi bersama,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd Khalid berkata kerjasama daripada semua pihak amat dihargai supaya suasana harmoni dapat dikekalkan sepanjang tempoh perhimpunan itu.

Beliau turut menasihatkan peserta perhimpunan untuk sentiasa peka terhadap peruntukan undang-undang sedia ada serta bersama-sama memelihara ketenteraman dan keselamatan di kawasan sekitar.

“Adalah menjadi harapan kami supaya setiap suara yang dizahirkan dapat disampaikan dalam suasana yang saling menghormati dan berlandaskan nilai kesopanan serta adab masyarakat Malaysia,” katanya.

Mohd Khalid turut menasihatkan masyarakat umum yang tidak terlibat secara langsung dalam perhimpunan itu supaya merancang perjalanan lebih awal dan menyemak maklumat trafik semasa bagi mengelakkan sebarang kesulitan atau kelewatan susulan aliran trafik dijangka mengalami sedikit perubahan.

“Dalam melaksanakan amanah menjaga keselamatan negara, PDRM ingin memberi jaminan bahawa keselamatan awam akan terus dipelihara dan dalam masa yang sama, hak-hak kebebasan rakyat akan tetap dihormati.

“Kami percaya bahawa perimbangan antara hak demokrasi dan pemeliharaan undang-undang boleh dicapai melalui kerjasama yang erat dan rasa tanggungjawab bersama,” katanya

Mohd Khalid turut merakamkan penghargaan atas kepercayaan yang diberikan oleh rakyat kepada PDRM, dan menyeru semua pihak supaya terus memainkan peranan secara berhemah dan matang.

“Marilah kita bersama-sama memastikan setiap ruang demokrasi yang terbuka ini dimanfaatkan secara positif demi menjaga keharmonian dan kesejahteraan masyarakat secara keseluruhan,” katanya.

Pada 18 Julai, Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad dilaporkan berkata pihaknya sudah menerima pemakluman penganjuran perhimpunan itu yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi daripada penganjur, dan polis menugaskan lebih 2,000 anggota bagi kawalan keselamatan perhimpunan berkenaan.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619