AGENDA

Protes 'Turun Anwar' helah pihak tertentu mahu kekal relevan dalam politik

17 Jul 2025, 9:49 AM
Protes 'Turun Anwar' helah pihak tertentu mahu kekal relevan dalam politik

KUALA LUMPUR, 17 JULAI: Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin menyifatkan protes ‘Turun Anwar’ yang dijadualkan berlangsung pada 26 Julai ini sebagai satu helah politik oleh ‘sekumpulan kecil’ yang mahu kekal relevan dalam arena politik.

Beliau berkata demonstrasi yang dirancang di ibu negara itu bukanlah satu manifestasi sebenar rasa tidak puas hati rakyat seperti yang didakwa oleh penganjur himpunan itu.

“Protes ini bukan tentang rakyat, sebaliknya ia adalah usaha sekumpulan kecil tertentu untuk mengubah keputusan yang gagal mereka capai menerusi peti undi,” katanya ketika berucap pada Forum Ekonomi Kebangsaan anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia di sini hari ini.

Shamsul Iskandar berkata kerajaan yang ada pada hari ini mendapat mandat melalui pilihan raya yang bebas dan adil, dan sejak itu bekerja keras untuk menyelesaikan pelbagai isu berpanjangan yang ditinggalkan oleh pentadbiran terdahulu seperti kerosakan institusi, kelemahan tadbir urus serta pengurusan fiskal.

“Jika mahukan perubahan, bertanding dalam pilihan raya akan datang dan itu adalah cara demokrasi. Malaysia tidak boleh terganggu dengan ‘gangguan’ ini. Apa yang kita perlukan sekarang ialah kematangan, perpaduan dan penyampaian,” katanya.

Shamsul Iskandar berkata apa yang diperlukan negara ketika ini ialah kepimpinan yang bijaksana, bukannya pemimpin yang mengejar perhatian atau populariti tetapi pemimpin yang berfikir melebihi diri mereka, yang bertanya “Apa akan berlaku kepada negara ini apabila saya tiada?”

Beliau berkata pemimpin yang bijak adalah pemimpin yang ‘Membina institusi, bukan ego; Membina kepercayaan, bukan puak; Membina untuk generasi akan datang, bukan pilihan raya akan datang.”

“Ini bertepatan dengan gaya kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Terkawal, berprinsip dan memberi tumpuan kepada perkhidmatan, membuat pembaharuan satu demi satu, membina semula kepercayaan, mengukuhkan institusi dan memastikan tiada siapa yang ketinggalan.

“Itu juga gaya kepimpinan bijaksana yang ditunjukkan Perdana Menteri di peringkat serantau sebagai Kepengerusian ASEAN, yang berjaya menghimpunkan diplomat tertinggi dari Amerika Syarikat, China dan Rusia di Kuala Lumpur baru-baru ini. Ia satu pencapaian diplomatik yang tidak mudah dan amat membanggakan,” katanya.

-- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619