AGENDA

Pelaksanaan perintah gaji minimum RM1,700 berkuat kuasa 1 Ogos ini

22 Jul 2025, 4:54 AM
Pelaksanaan perintah gaji minimum RM1,700 berkuat kuasa 1 Ogos ini

PUTRAJAYA, 22 JULAI: Perintah Gaji Minimum (PGM) 2024 berjumlah RM1,700 sebulan berkuat kuasa 1 Ogos ini kepada semua majikan di seluruh negara tanpa mengira bilangan pekerja digajikan.

Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) berkata, majikan perlu menyemak semula struktur gaji syarikat bagi memastikan tiada pekerja menerima gaji pokok di bawah kadar minimum ditetapkan.

Menurutnya, kadar baharu itu sebelum ini diumumkan dalam Belanjawan 2025 dan mula dilaksanakan pada 1 Februari lalu bagi majikan yang mempunyai lima pekerja dan ke atas serta bagi majikan yang menjalankan aktiviti profesional seperti diklasifikasikan di bawah 'Malaysia Standard Classification of Occupations' (MASCO) 2020.

"Ini bermakna, bermula 1 Ogos 2025 semua majikan tanpa pengecualian, termasuk mereka yang sebelum ini menikmati tempoh penangguhan perlu mematuhi perintah gaji minimum sebanyak RM1,700 sebulan.

"Ini termasuk untuk pekerja bukan warganegara dan pekerja kontrak perantisan, namun tidak terpakai kepada pekhidmat domestik.

"Semua majikan diwajibkan mematuhi kadar minimum ini bagi memastikan hak pekerja dilindungi selaras dengan undang-undang yang berkuat kuasa," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Kesuma berkata, kegagalan mematuhi perintah gaji minimum adalah satu kesalahan di bawah Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732).

Sabit kesalahan majikan boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 bagi setiap pekerja, denda tambahan RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu berterusan selepas sabitan dan bagi kesalahan berulang denda maksimum boleh mencecah RM20,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun.

"Selain itu, majikan juga perlu membuat penyesuaian operasi secara progresif dengan memberi tumpuan kepada peningkatan produktiviti dan pelaburan dalam latihan kemahiran pekerja," katanya.

Dalam pada itu, Kesuma turut menggalakkan majikan untuk memanfaatkan Dasar Gaji Progresif (DGP) yang bersifat sukarela dan bertindak sebagai pelengkap kepada pelaksanaan gaji minimum.

Katanya, melalui DGP, majikan berpeluang meningkatkan pendapatan pekerja berdasarkan produktiviti, kemahiran dan sumbangan kerja, sambil menikmati insentif tunai bersasar daripada kerajaan.

"Ini bukan sahaja membantu syarikat mengekalkan pekerja berkemahiran tinggi, malah turut mengukuhkan daya saing jangka panjang dalam pasaran buruh yang semakin mencabar," katanya.

Sebarang pertanyaan atau aduan mengenai pelaksanaan perintah gaji minimum boleh dikemukakan kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) di seluruh negara atau melalui laman rasmi Kementerian Sumber Manusia.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619