AGENDA

Perintah gaji minimum RM1,700 kuat kuasa hari ini

1 Feb 2025, 1:33 AM
Perintah gaji minimum RM1,700 kuat kuasa hari ini

KUALA LUMPUR, 1 FEB: Seramai 4.37 juta pekerja akan menerima gaji minimum RM1,700 sebulan, berbanding RM1,500 sebelum ini berikutan pelaksanaan Perintah Gaji Minimum baharu berkuat kuasa secara rasmi hari ini.

Perintah itu terpakai kepada majikan yang menggajikan lima orang pekerja atau lebih dan majikan yang menjalankan suatu aktiviti profesional, tanpa mengambil kira bilangan pekerja yang digajikan oleh majikan berkenaan.

Bagi majikan yang menggajikan kurang daripada lima orang pekerja, tarikh kuat kuasa akan bermula pada 1 Ogos depan, bagi memastikan majikan diberi tempoh mencukupi untuk melakukan penyesuaian dalam struktur gaji dan operasi syarikat masing-masing.

Semua majikan diwajibkan untuk mematuhi Perintah Gaji Minimum itu dan memastikan pekerja mereka menerima gaji pokok tidak kurang daripada RM1,700 sebulan, dan kegagalan mematuhi perintah itu menjadi satu kesalahan yang boleh didenda di bawah Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732).

Sebelum ini, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) memaklumkan pelaksanaan Perintah Gaji Minimum itu adalah satu daripada pendekatan besar kementerian dalam meningkatkan pendapatan pekerja, selain pelaksanaan Dasar Gaji Progresif dan usaha merancakkan latihan kemahiran sebagai kaedah meningkatkan keberhasilan dan gaji pekerja

KESUMA bagaimanapun menegaskan kadar gaji minimum itu tidak sepatutnya dijadikan penanda aras gaji permulaan kepada semua pekerja khususnya siswazah dan para pekerja yang perlu diberi gaji setimpal berdasarkan kemahiran.

Dalam pembentangan Belanjawan 2025 pada Oktober lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan menaikkan kadar gaji minimum itu sebagai langkah penstrukturan ekonomi dan membolehkan rakyat meraih gaji dan upah yang bermakna untuk menjalani hidup dengan lebih selesa.

Untuk maklumat lanjut mengenai Perintah Gaji Minimum baharu, orang ramai boleh melayari laman web rasmi di https://minimumwages.mohr.gov.my/ dan bagi sebarang pertanyaan, majikan atau pekerja boleh e-mel kepada minimumwages@mohr.gov.my.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619