AGENDA

Miti lancar pelan hala tuju industri besi dan keluli, tumpu daya tahan jangka panjang

22 Jul 2025, 4:13 AM
Miti lancar pelan hala tuju industri besi dan keluli, tumpu daya tahan jangka panjang
Miti lancar pelan hala tuju industri besi dan keluli, tumpu daya tahan jangka panjang

KUALA LUMPUR, 22 JUL: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan melancarkan pelan hala tuju untuk menambah baik serta memastikan sektor besi dan keluli Malaysia lebih berdaya tahan dalam jangka masa panjang susulan penyerahan laporan akhir Jawatankuasa Keluli Bebas (ISC).

Timbalan Menterinya Liew Chin Tong yang mempengerusikan mesyuarat Majlis Keluli Malaysia (MSC) semalam bagi pihak menteri, berkata pelan hala tuju itu akan menggabungkan cadangan utama daripada laporan ISC.

[caption id="attachment_687802" align="aligncenter" width="789"] Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong. Foto Facebook Democratic Action Party[/caption]

“Ini merupakan mesyuarat pertama MSC yang diadakan selepas penyerahan laporan akhir ISC kepada MITI.

“Persekutuan Industri Besi dan Keluli Malaysia (MISIF) dan Persatuan Keluli Malaysia (MSA) menyatakan penghargaan dan persetujuan mereka terhadap dapatan dan cadangan daripada laporan tersebut, termasuk cadangan menambah baik Institut Keluli Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Turut hadir pada mesyuarat itu ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Industri) MITI Datuk Hanafi Sakri, Presiden MISIF Roshan M Abdullah, Timbalan Presiden MSA Datuk Seri Tai Hean Leng serta Pengerusi ISC dan Ketua Pegawai Eksekutif HSBC Malaysia Datuk Omar Siddiq.

Liew berkata antara inisiatif utama ialah pelaksanaan cukai karbon untuk sektor besi dan keluli pada 2026, dengan kerjasama Kementerian Kewangan, seperti yang diumumkan sebelum ini di bawah Belanjawan 2025.

Mesyuarat MSC turut termasuk taklimat daripada Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai tindakan penguatkuasaan terkini, iaitu Op Padu 1.0, Op Padu 2.0 dan Ops Metal yang menyasarkan produk keluli tidak berkualiti dan penyeludupan besi buruk.

"Tindakan penguatkuasaan ini penting untuk menjaga integriti industri dan menyokong persaingan yang adil,” katanya.

Liew berkata MITI berharap kemajuan berterusan dalam memacu kemampanan ekonomi dan alam sekitar dalam industri besi dan keluli negara.

- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619