AGENDA

Cubaan seludup 1.14 juta rokok putih gagal, tonto cuba halang PPM

17 Jul 2025, 1:36 AM
Cubaan seludup 1.14 juta rokok putih gagal, tonto cuba halang PPM

KOTA BHARU, 17 JULAI: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor mematahkan cubaan menyeludup masuk 1.14 juta batang rokok putih dalam serbuan di Kampung Alor Mengkuang, Pasir Mas, Selasa lalu.

Komander PPM Wilayah Tiga ACP Zulafendy Hassan berkata dalam kejadian 4 pagi itu, sepasukan anggota PPM yang sedang menjalankan pemantauan mengesan lori tiga tan di kawasan Chabang Empat menghala ke Kampung Ana, Tumpat.

Beliau berkata anggota PPM bertindak mengejar lori berkenaan, namun pemandunya enggan memberhentikan kenderaan.

“Keadaan menjadi lebih tegang apabila dua kenderaan dipercayai tonto cuba menghalang pasukan PPM, termasuk hampir melanggar anggota yang menunggang motosikal,” katanya dalam kenyataan.

Zulafendy berkata pihaknya terpaksa melepaskan beberapa das tembakan ke arah tayar lori dan kenderaan tonto, namun suspek tetap memecut kenderaan sebelum lori terbabit terbabas dan melanggar tiang parkir di kawasan Pasir Mas.

“Pemandu dilihat melompat keluar dari lori itu dan melarikan diri ke kawasan berhampiran. Pemeriksaan terhadap lori menemukan 114 kotak rokok putih jenama Zon King, dianggarkan 1,140,000 batang rokok, dipercayai diseludup dari negara jiran.

“Keseluruhan nilai rampasan termasuk lori dan cukai dianggarkan bernilai RM2.3 juta,” katanya.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan rampasan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat untuk tindakan lanjut.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619