AGENDA

Dua varieti padi baharu tahan penyakit karah, tangani isu padi angin

14 Jul 2025, 7:40 AM
Dua varieti padi baharu tahan penyakit karah, tangani isu padi angin

PASIR SALAK 14 JULAI: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melalui Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) memperkenalkan dua varieti baharu padi untuk menangani isu berkaitan padi angin.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata dua varieti baharu itu, MR CL3 dan MR CL4 adalah hasil kerjasama strategik antara Mardi dan BASF (Malaysia) Sdn Bhd sejak 20 tahun lalu.

“MR CL3 dan MR CL4 mempunyai kelebihan matang lebih awal iaitu selama 99 hari dengan potensi hasil melebihi tujuh tan sehektar,” katanya ketika berucap pada Majlis Pengisytiharan Varieti Padi Cleafield Baharu MR CL3 dan MR CL4 di Pusat Benih Padi Felcra Berhad di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha KPKM Datuk Seri Isham Ishak, Pengerusi Lembaga Pengelola Mardi Dr Azman Ismail; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak Datuk Mohd Zolkafly Harun dan Ketua Pengarah Mardi Datuk Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani.

Beliau berkata kedua-dua varieti itu juga mempunyai ketahanan terhadap penyakit karah daun dan karah tangkai serta dapat dimanfaatkan di bawah program inisiatif KPKM seperti penanaman padi lima kali dua tahun dan Program Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB).

Sementara itu, Mohamad berkata kaedah pengkomersilan varieti itu akan dilaksanakan melalui Sistem Pengeluaran Clearfield yang merangkumi varieti padi, racun rumpai imidazolinone (Trek) dan garis panduan penggunaan yang bertujuan mengawal masalah padi angin.

Beliau berkata varieti MR CL3 dan MR CL4 merupakan padi yang dibiakkan khusus untuk mempunyai ciri rintangan terhadap racun rumpai imidazolinone.

Terdahulu, Mohamad turut merasmikan bangunan baharu Kompleks Projek Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) di Seberang Perak.

Padi angin ialah sejenis padi liar yang tumbuh bersama padi ditanam, tetapi mempunyai ciri-ciri berbeza dan boleh menjejaskan hasil tanaman padi.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619