AGENDA

MARDI temui varieti baharu Periuk Kera

25 Mei 2023, 1:27 AM
MARDI temui varieti baharu Periuk Kera

SERDANG, 25 MEI: Kumpulan saintis Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) menemui satu varieti baharu periuk kera atau nepenthes rafflesiana di Taman Negeri Rompin, Pahang dan Setiu Wetlands, Terengganu kira-kira dua bulan lepas.

Ketua Pengarah MARDI Datuk Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani berkata varieti terbaharu di Malaysia dan dunia itu, yang mempunyai bentuk seakan-akan telinga serta berwarna hijau kekuningan hingga hijau kemerahan, manakala periuk atasnya mempunyai bentuk silinder lebih kecil, dinamakan zabawiana.

Beliau berkata varieti terbaharu itu belum berdaftar atau diterbitkan dalam mana-mana dokumentasi, jurnal atau laporan yang telah ditentusahkan oleh pakar botani Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Profesor Emeritus Datuk Dr Abdul Latiff Mohamad.

Mohamad Zabawi dalam sidang media selepas Sambutan Hari Biodiversiti Sedunia Peringkat Mardi di sini semalam, berkata varieti baharu itu mampu tumbuh subur di kawasan tanah rendah, tahan lasak dan mudah dibiakkan menggunakan keratan batang serta berpotensi dikomersialkan sebagai tanaman hiasan.

"MARDI akan menjalankan penyelidikan lanjut mengenai enzim yang terdapat di bahagian bawah struktur periuk dan enzim berkenaan khusus untuk mencerna makanan atau serangga yang masuk ke dalam periuk itu.

"Mungkin kita boleh kaji potensi kegunaan enzim periuk kera untuk tujuan perubatan dan pertanian," katanya.

Menyatakan di Malaysia setakat ini terdapat 14 spesies periuk kera, beliau berkata periuk kera atau nama saintifiknya nepenthes ialah antara tumbuhan karnivor di Malaysia dan menjadi khazanah negara yang unik serta perlu dipelihara.

Pada majlis tersebut, Mohamad Zabawi mengumumkan MARDI memperoleh tiga pingat emas dan satu perak dalam pertandingan di Ekspo Teknologi Malaysia (MTE) 2023 pada Mac lepas, serta membawa pulang Anugerah Khas oleh Chinese Innovation and Invention Society, Taiwan menerusi inovasi Ayam Saga dan Formulasi Makanan Ayam Menggunakan Bahan Asas Tempatan.

MARDI turut membawa pulang tujuh pingat emas dan tiga perak dalam pertandingan Pameran Penciptaan, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa (ITEX) 2023 yang diadakan di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) bulan lepas.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619