BERITA UTAMA

Rasul Melayu, Tuhan Harun antara 23 kes berkaitan ajaran sesat dikenakan tindakan

8 Jul 2025, 3:43 AM
Rasul Melayu, Tuhan Harun antara 23 kes berkaitan ajaran sesat dikenakan tindakan

SHAH ALAM, 8 JULAI: Sebanyak 23 kes berkaitan ajaran sesat dikenakan tindakan penguatkuasaan sepanjang 2019 hingga tahun lalu, dengan 12 darinya sudah disabit kesalahan.

EXCO Agama Islam Dr Mohamad Fahmi Ngah berkata kes berkenaan melibatkan beberapa ajaran antaranya Syiah, Millah Abraham, Hizbut Tahrir, Rasul Melayu dan Tuhan Harun.

“Daripada jumlah berkenaan, 11 kes lagi dalam peringkat proses perbicaraan di Mahkamah Syariah,” katanya di sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Mohamad Fahmi berkata pentadbiran mengambil pendekatan intervensi melalui penjelasan, pendidikan, pemantauan dan penguatkuasaan bagi mengekang penyebaran ajaran sesat.

Antaranya menyebar maklumat menerusi penerbitan bahan bercetak dan media elektronik, khutbah Jumaat, menguatkuasakan undang-undang dengan kerjasama pelbagai agensi serta melaksana proses pemulihan dan bimbingan.

“Kita lihat tindakan pemulihan berkesan. Kita tengok revolusi GISB Holding (GISBH) banyak beza dari zaman Al-Arqam. Sebab (sekarang) mereka hanya tumpu kumpulan dan kelompok keluarga yang rapat.

“Mereka membesar dalam kultus mereka sahaja. Bukan mudah orang luar nak masuk dan nampak kejayaan dari pemulihan. Jadi undang-udang boleh ditambah baik ikut peredaran zaman dan masa,” katanya.

Pada Mac, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menitahkan pantauan berterusan dilaksana bagi membendung ajaran sesat khusus terhadap kumpulan yang telah berdepan tindakan undang-undang.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah usaha itu perlu dilakukan bagi memastikan kumpulan ajaran sesat tidak kembali aktif seperti yang berlaku dalam gerakan GISBH.

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619