BERITA UTAMA

Lebih 3,000 syarikat tempatan di Selangor tawar kerja di Jelajah Jobcare

21 Jun 2025, 4:25 PM
Lebih 3,000 syarikat tempatan di Selangor tawar kerja di Jelajah Jobcare
Lebih 3,000 syarikat tempatan di Selangor tawar kerja di Jelajah Jobcare
Lebih 3,000 syarikat tempatan di Selangor tawar kerja di Jelajah Jobcare

KUALA LANGAT, 21 JUN: Sebanyak 3,357 syarikat tempatan di Selangor menyertai Karnival Jelajah JobCare Selangor yang menawarkan pekerjaan bergaji tinggi.

EXCO Pembangunan Sumber Manusia V Papparaidu berkata penglibatan syarikat tempatan itu seiring hasrat Kerajaan Negeri dalam memastikan setiap penempatan berkembang maju.

“Kita ada lebih 4,000 syarikat sertai karnival ini termasuk yang berskala besar dan bertaraf multinasional. Daripada jumlah itu, 3,357 syarikat dari Selangor sahaja kerana kita mahu memudahkan rakyat mencari pekerjaan, tidak perlu ke luar negara.

“Sebab itu, kita anjurkan karnival ini secara menyeluruh iaitu di bandar dan luar bandar. Untuk rekod, tahun lalu sahaja 1,120 individu diterima bekerja dan pada tahun ini di Gombak dan Petaling Jaya lebih 300 diterima bekerja.

“Kita memang ada sasaran iaitu 10,000 individu peroleh pekerjaan tetapi paling utama ialah Kerajaan Negeri mahu pupuk kesedaran khususnya kepada ibu bapa lihat sendiri pekerjaan ditawarkan menerusi karnival ini,” katanya.

[caption id="attachment_706495" align="alignnone" width="887"] EXCO Sumber Manusia V Papparaidu beramah mesra bersama pengunjung ketika Karnival Jelajah Jobcare Daerah Kuala Langat di Dewan Sri Jugra, Banting pada 21 Jun 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]

Ditemui pada karnival tersebut peringkat daerah Kuala Langat, Papparaidu yang juga Ahli Dewan Negeri Banting memaklumkan lebih 4,000 pekerjaan ditawarkan dengan melibatkan 25 syarikat.

Katanya, antara syarikat besar yang menawarkan pekerjaan berpendapatan tinggi ialah Aviation Sdn Bhd, Prasarana Malaysia Sdn Bhd, FGV IFFCO Sdn Bhd, Canon Opto (M) Sdn Bhd dan KL-Kepong Oleomas Sdn Bhd.

Beliau yang juga EXCO pembasmian kemiskinan turut menyarankan graduan lepasan universiti tidak terlalu memilih, sebaliknya menggunakan peluang sebaiknya pekerjaan ditawarkan.

“Kita faham mungkin ada antara mereka datang ke karnival untuk ‘test market’ dengan kelayakan yang mereka ada. Tetapi, jika ada peluang mereka boleh cuba dahulu sementara menunggu pekerjaan lain.

“Ini kerana mereka boleh didedahkan dengan dunia pekerjaan sebenar dan sekali gus mengurangkan kadar pengangguran,” katanya.

[caption id="attachment_706497" align="alignnone" width="875"] Pengunjung menghadiri Karnival Jelajah Jobcare Daerah Kuala Langat di Dewan Sri Jugra, Banting pada 21 Jun 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]

Karnival Jelajah JobCare yang bermula 19 April lalu di sembilan daerah menawarkan lebih 40,000 peluang pekerjaan termasuk kepada golongan orang kelainan upaya (OKU) dan bekas banduan.

Karnival kerjaya itu merangkumi pelbagai sektor seperti perkhidmatan, pembuatan, pemasaran, kesihatan, pelancongan, hospitaliti dan pengangkutan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619