AGENDA

Keluar bermain tanpa disedari, kanak-kanak tiga tahun lemas jatuh tali air

17 Jun 2025, 12:32 PM
Keluar bermain tanpa disedari, kanak-kanak tiga tahun lemas jatuh tali air

JERTIH, 17 JUN: Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun ditemukan lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam tali air di Kampung Kundur, Bukit Kenak dekat sini petang semalam.

Mangsa, Intan Inara Mohammad Hariz Husaini dipercayai terjatuh ke dalam tali air ketika bermain seorang diri di belakang rumah neneknya.

Ketua Polis Daerah Besut Supt Azamuddin Ahmad @ Abu berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian tersebut pada 8.53 malam.

“Pada kira-kira 6 petang, mangsa dikatakan keluar melalui pintu belakang rumah neneknya dan bermain sendirian tanpa disedari sesiapa.

“Mangsa dijumpai oleh bapa saudaranya dalam keadaan terapung di dalam tali air, kira-kira 300 meter dari rumah neneknya pada 6.10 petang, sebelum dikejarkan ke Hospital Besut, namun disahkan telah meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azamuddin berkata rumah nenek mangsa terletak kira-kira 70 meter dari lokasi tali air tersebut.

Katanya bedah siasat ke atas mangsa dijalankan hari ini dan setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

-- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619